Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Adaptasi Teknologi 5G dalam Kaedah Baharu Penyampaian Maklumat

By 13 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Norrul Hamshinar Kamaruddin (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) khususnya Jabatan Penerangan (JaPen) harus mempelopori kaedah baharu dalam penyampaian maklumat berkaitan inisiatif kerajaan termasuk mengadaptasi serta meletakkan teknologi 5G dalam ekosistem.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKMM Shakib Ahmad Shakir berkata tanpa alpa bahawa pendekatan yang digunakan selama ini adalah pendekatan yang berkesan, pendekatan baharu diperlukan terutamanya untuk golongan muda.

“Dengan kelulusan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun daripada 21, mesej yang hendak disampaikan kepada pengundi muda juga penting.

“Oleh itu kaedah penyampaian juga harus berbeza daripada lain yang lebih mengambil kira minat dan pandangan golongan remaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen 2019, di sini hari ini.

Shakib berkata pendekatan baharu secara kreatif dan inovasif dalam sistem penyampaian akan membolehkan mesej kerajaan kepada rakyat disampaikan dengan berkesan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penerangan Roselindawati Abdul Rahman berkata gabungan penglibatan jabatan dan agensi di bawah KKMM penting dalam memantapkan lagi sistem penyampaian maklumat awam.

Menurutnya, JaPen sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam penyampaian maklumat awam dan pada tahun depan, akan bergerak dengan agensi lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) serta Mynic Bhd.

“…dengan bergabung tenaga serta menggunakan kemahiran dan kelebihan yang ada pada setiap agensi untuk meluaskan lagi sistem penyampaian,” katanya.

Roselindawati berkata JaPen juga menghadapi cabaran dalam menyampaikan maklumat kerana masyarakat kini lebih minat mendapatkan maklumat dalam masa nyata.

“Kita akan berusaha untuk menyampaikan maklumat sepantas mungkin dengan meneliti semula sistem penyampaian serta terokai saluran teknologi baharu supaya penyampaian dilakukan serentak tanpa bersemuka dengan masyarakat seperti menerusi Skype,”katanya.

Hari Inovasi dan Kecemerlangan JaPen merupakan majlis tahunan bertujuan meraikan inovasi dan memberi pengiktirafan kepada warga JaPen yang berjaya membudayakan kreativiti dan inovasi dalam usaha mempertingkatkan penyampaian maklumat kepada rakyat serta mentransformasikan 143 Pusat Maklumat Rakyat di seluruh negara walaupun menghadapi kekangan seperti peralatan usang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda