
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
PENAMPANG, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Cabaran terbesar bagi kerja-kerja kemanusiaan adalah dana yang tidak mencukupi untuk menjalankan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan.
Pembantu Menteri Undang-undang dan Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata perkhidmatan ambulans yang disediakan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) adalah percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan dan cajnya jauh lebih rendah berbanding operator swasta.
“Oleh itu sangat perlu untuk kita membantu bagi mendapatkan dana untuk BSMM Daerah Penampang kerana mereka perlu menaik taraf perkhidmatan ambulans dan menyediakan latihan yang terbaik untuk ahli-ahlinya.
“Mereka juga perlu menaik taraf peralatan memasak yang akan digunakan apabila berlaku bencana alam terutama di daerah Penampang.
“Paling utama, saya memuji setiap orang yang hadir kerana mempunyai hati yang luhur untuk turut sama menyumbang.
“Saya percaya kemurahan hati anda pasti akan membantu meringankan kerja persatuan dalam menjalankan kerja-kerja kemanusiaan mereka kepada masyarakat,” ujarnya.
Jannie berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Amal 2019 anjuran Persatuan BSMM
Daerah Penampang yang diadakan di ITCC Grand Ballroom, pada sabtu malam.
Turut hadir,Pengerusi BSMM Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung; Pengerusi BSMM penampang, Datin Seri Panglima Celestina K. Jinu; Pengerusi Penganjur merangkap Pegawai Pengumpul Dana BSMM Daerah Penampang, Elizabeth Sikayun.
Mengulas lanjut kata Jannie, sumbangan yang diberikan dapat meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan dan memberi kesan positif kepada lebih ramai orang yang kita tidak akan pernah jangka walau di mana mereka berada.
“Di banyak tempat di dunia, tidak semua kelompok masyarakat begitu bernasib baik. Maka dengan memberikan sumbangan ini lah dapat membantu menjadikan dunia yang lebih bahagia dan sihat dengan meningkatkan kualiti hidup bagi mereka di sekeliling kita secara keseluruhan.
“Dengan memberi sumbangan untuk Majlis Makan Malam Amal yang dianjurkan oleh BSMM Penampang, anda tidak akan tahu mungkin anda atau orang yang kita sayang yang akan dibantu satu hari nanti,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BSMM Penampang merangkap Pengarah BSMM Negeri Sabah, Simon Chin; Pembantu Pegawai Daerah Penampang, Roslan Lampakas; Setiausaha Eksekutif, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Joanne Lee dan Ketua Sub-Delegasi, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah Kota Kinabalu, Sabine Gralla.
ER