Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
PENAMPANG, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Badan-badan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) berperanan penting melengkapkan usaha-usaha Kerajaan membantu komuniti luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengalu-alukan inisiatif yang dijalankan oleh badan-badan NGO untuk membantu komuniti di kawasan luar bandar yang memerlukan.
“Hari ini, saya berbangga kerana dapat menyaksikan usaha Kelab Pacuan 4 Roda WRS dalam program jamboree atau konvoi mereka bagi menghantar sumbangan keperluan dapur dan pungutan derma ke Asrama Kanak-Kanak Bondulu Tambunan.
“Saya berharap Inisiatif murni ini dapat diteruskan dan mengalu-alukan agar lebih banyak badan NGO melaksanakan program-program kemasyarakatan seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan (flag off) Konvoi Jamboree Kelab WRS ke Tambunan di perkarangan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, pada Sabtu.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Penaung Kelab WRS berkata, program ini merupakan antara pengisian utama kelab itu setiap tahun.
“Selepas ini, mereka akan berkunjung ke daerah Kota Belud untuk menyampaikan sumbangan kepada rumah anak-anak yatim,” katanya.
Beliau mengalu-alukan usaha WRS sebagai sebuah kelab permotoran pacuan empat roda yang banyak menganjurkan konvoi ekspedisi ke kampung-kampung terpencil di kawasan luar bandar untuk mengenalpasti keadaan infrastruktur asas yang memerlukan perhatian dan tindakan Kerajaan.
“Saya berharap mereka dapat berkongsi pandangan dan menyampaikan input secara bertulis kepada Kementerian saya supaya sama-sama kita mencari penyelesaian dan penambahbaikan,” katanya.
Ewon turut bersetuju untuk mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa Kelab WRS untuk berkongsi input hasil program kelab di kampung-kampung terpencil selama ini.
“Sebelum ini, Kelab WRS juga pernah menyertai lawatan KPLB Sabah ke daerah Pagalungan pada hujung tahun lepas. Mereka mengadu mengenai keadaan jalan laluan utama di kawasan hutan simpan yang berada dalam keadaan teruk. Pihak saya telah menulis surat kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan kerja-kerja pembaikan jalan tersebut telah dilaksanakan selepas itu.
“Saya juga mengalu-alukan input daripada semua pihak, termasuk daripada Kelab WRS berkenaan kampung-kampung terpencil di kawasan luar bandar yang terletak jauh daripada sistem grid SESB atau tidak menikmati program solar elektrik Kerajaan Persekutuan atau kampung-kampung terpencil yang terletak jauh dari sistem retikulasi air Jabatan Air Sabah supaya KPLB Sabah boleh melihat bagaimana mereka dapat dibantu.
“Pada tahun hadapan, KPLB Sabah menyediakan peruntukan awal RM4 juta untuk program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) kepada kampung-kampung terpencil ini,” katanya.
Ewon berharap Kelab WRS dapat meneruskan inisiatif-inisiatif murni untuk membantu komuniti di luar bandar dan turut menjemput kelab ini menyertai program lawatan kementeriannya yang akan datang.
Turut hadir Presiden Kelab WRS Thompson Teo dan ahli-ahli Kelab WRS.
Konvoi melibatkan 40 buah kereta pacuan empat roda itu disertai kira-kira 100 peserta termasuk Pasukan Gerak Am dan ahli-ahli kelab daripada Brunei dan Sarawak.
ER