Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pertandingan Enam Penjuru di PRK Tanjung Piai

By 2 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Musliha Yusof/Fuad Abdullah (Johor Bahru)

PONTIAN, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Sejarah tercipta di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian apabila proses penamaan calon bagi merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai telah berlangsung di sini, pagi tadi.

Pusat penamaan calon telah dibuka seawal  jam 9.00 pagi dengan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Calon daripada parti Pakatan Harapan, Karmaine Sardini telah manghantar borang pencalonan seawal jam 9.03 pagi, diikuti calon parti Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

Manakala calon daripada parti Berjasa, Datuk Dr. Badrulhisham Abdul Aziz menghantar borang pendaftaran pada jam 9.09 pagi, diiikuti Dr. Ang Chuan Lock yang merupakan calon bebas, Wendy Subramaniam calon daripada parti GERAKAN dan calon bebas, Faridah Aryani Abd  Ghaffar.

Hasrat calon bebas, Chong Chai Huat tidak kesampaian apabila pencadang dan penyokongnya gagal hadir tepat pada masanya.

Proses penamaan calon tamat pada jam 11.00 pagi tadi selepas tempoh penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim ditutup pada jam 10.00 pagi, disusuli tempoh bantahan selama sejam di mana suasana di sini tenang dan terkawal dengan pemantauan pihak polis yang sentiasa memastikan aspek keselamatan dijaga dengan baik.

Setelah tamat proses penamaan calon pada hari ini, bermulalah tempoh rasmi aktiviti berkempen sehingga jam 11.59 malam, 15 November 2019.

Hari mengundi untuk PRK P.165 Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November 2019 bermula jam 8.00 pagi hingga jam 5.30 petang di mana tempoh masa mengundi telah dipanjangkan setengah jam dari waktu sebelumnya iaitu pada jam 5.00 petang.

SPR berharap aktiviti berkempen akan berjalan dengan penuh harmoni serta tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

-NI-

Tinggalkan komen anda