Laporan/foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Dikir Barat yang merupakan aset seni tradisional serta citra budaya Kelantan terus diangkat dan dimartabatkan melalui penganjuran Program Pertandingan Dikir Barat Rakan Muda Kreatif oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Menurut Pegawai Perhubungan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Nor Amirul Amir Abdullah, 27, program ini bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam seni persembahan dikir barat dalam kalangan belia berusia 15 hingga 25 tahun.
“Setiap pasukan yang menyertai pertandingan ini diberi pilihan untuk mencipta tajuk berunsurkan nasihat, patriotik, lawak jenaka serta nilai kemasyarakatan dan alam semesta yang boleh menarik para pendengar, dan penghasilan lagu-lagu dikir barat ini memperlihatkan bahawa masyarakat Melayu di negeri ini semenjak dahulu lagi mempunyai daya pemikiran kreatif.
“Seramai 200 orang peserta dari seluruh daerah di Kelantan menyertai pentandingan yang julung kali diadakan ini,” jelas Nor Amirul ketika ditemui sempena program berlangsung di sebuah pusat membeli-belah, di sini semalam.
Bagi ahli pasukan pendikir daerah Tanah Merah Azwan Azril, 22, berkata aktiviti seumpama ini dapat mewujudkan komuniti yang saling berhubung antara sub-komuniti serta individu lain.
“Dikir barat adalah suatu persembahan tradisional yang paling digemari masyarakat Kelantan tanpa mengira warna kulit dan latar belakang, ia wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar.
“Budaya ini merupakan satu persembahan berkumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Jogho, di mana mereka akan mengarut sambil berbalas pantun dan diikuti oleh ‘awak-awak’ sebagai suara latar yang kuat dan lantang,” ujar Azwan.
Sementara itu Hafizi Hasbullah, 19, seorang peminat dikir barat berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam aktiviti dikir barat ini semenjak di bangku sekolah rendah lagi.
“Program seumpama ini pasti dapat membina watak disiplin, sifat hormat-menghormati, setia, bekerjasama, bersatu serta bersemangat patriotik dan aktiviti ini juga dapat membimbing golongan muda agar tidak terjebak dengan gejala sosial serta jenayah,” katanya.
Bertemakan “Anak Muda Harapan Bangsa”, pasukan mewakili Daerah Kota Bharu telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000, piala iringan serta sijil penyertaan
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh peserta mewakili Daerah Tumpat dan Bachok yang turut membawa pulang wang tunai, piala iringan dan sijil penyertaan.
Pertandingan yang melibatkan penyertaan sembilan pasukan dari seluruh daerah ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kelantan Wan Roslan Wan Hamat dengan disaksikan lebih daripada 1200 orang penonton.
-SH