Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Skudai Batu 10, semalam.
Raja Zarith tiba di PPS tersebut pada jam 11.00 pagi dan meluangkan masa lebih kurang satu jam untuk menemui dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir.
Baginda turut berkenan mendengar taklimat yang disampaikan Pegawai Daerah Johor Bahru, Abdul Rahman Salleh dan Ketua Kampung Kempas, Hambali Munadi.
Sehingga kini, seramai 582 mangsa daripada 157 keluarga berada di pusat pemindahan sementara tersebut yang dibuka sejak hari Ahad yang lalu.
Terdahulu, menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa baginda bersama Permaisuri Johor serta anggota keluarga diraja lain akan melawat pusat-pusat pemindahan sementara yang dibuka untuk mangsa banjir di negeri ini, bermula hari ini.
Setakat 8.00 pagi semalam, mangsa banjir terus meningkat kepada 9,151 orang di sembilan daerah di negeri Johor berbanding 9,043 orang pada 9.30 malam.
-NI-