Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Enam Tahun Sambut Krismas Berteman Air Mata

By 20 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Sejak enam tahun berada di Pusat Koreksional Labuan (PKL), seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Roni, 33, tidak menyambut perayaan Hari Natal bersama keluarga.

Roni yang menjadi penghuni PKL sejak enam tahun lalu hanya menjadikan rakan-rakan sebagai teman pengubat rindu setiap kali menjelang Hari Natal.

“Keluarga saya tidak mampu datang ke sini untuk melawat saya kerana saya berasal dari Kupang, Indonesia tetapi saya tetap bersyukur kerana ada kawan-kawan yang menemani sambutan Krismas setiap tahun di sini.

“Pengalaman tahun pertama menyambut Krismas di sini memang sesuatu yang berat dan pada masa itu saya merasa amat kosong sekali serta saya rasa itulah detik paling sedih dalam hidup saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Krismas Bersama Prison Fellowship Malaysia (Labuan Chapter) dan Majlis Jalinan Kasih Peringkat Penghuni PKL, di sini baru-baru ini.

Roni tidak menyembunyikan rasa pilunya apabila memberitahu sering menangis pada malam hari terutama ketika berseorangan kerana terlalu rindukan ahli keluarganya di kampung halaman.

“Kerinduan terhadap keluarga meningkatkan azam saya untuk berubah selepas ini dan segala pengalaman yang saya perolehi di sini seperti peluang mempelajari kemahiran menjahit akan saya gunakan untuk mencari rezeki bagi membantu keluarga saya,” katanya lagi.

Pelukan penuh kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Pelukan penuh kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Seorang lagi penghuni PKL yang mahu dikenali sebagai Stan, melahirkan rasa gembira dapat bersemuka dengan ahli-ahli keluarganya.

“Saya sangat gembira dapat bertemu dengan keluarga hari ini dan saya sangat hargai peluang yang jarang sekali dapat diperolehi ini.

“Program hari ini memberi pendorong saya untuk berubah dan berhadapan dengan masyarakat dengan yakin sekaligus meneruskan kehidupan di luar nanti,” katanya.

Stan juga bertekad untuk lebih menghargai keluarga dan masyarakat selepas ini serta berharap sokongan ahli keluarga semua penghuni di sana agar dapat membantu mereka dari segi mental dan rohani sebagai panduan menjalani kehidupan di dalam PKL serta di luar kelak.

“Saya juga ingin menasihatkan masyarakat di luar sana agar hidup secara normal dan positif serta tidak mengikut hawa nafsu diri yang akan membawa anda terpesong ke jalan kebinasaan,” kongsinya kepada media.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara PKL Labuan Shamlin Mohd Tuali, berkata objektif program itu adalah untuk memberi kesempatan kepada penghuni berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing pada musim perayaan seperti Krismas.

“Diharap dengan peluang ini para penghuni menyedari bahawa ahli keluarga dan masyarakat di luar sana masih menyayangi mereka untuk memberi sokongan moral untuk menjadi seorang yang lebih baik,” katanya.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda