
Laporan/foto : Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 19 Dis ( Malaysiaaktif ) – Gelombang kedua banjir mula melanda daerah Kota Tinggi sejak Ahad lepas yang menyebabkan beberapa kawasan rendah telah dinaiki air sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke 18 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Seramai 207 orang mangsa yang terdiri dari 65 buah keluarga dari Kampung Mawai Baru, Kampung Mawai Lama dan Kampung Haji Mohd Jambi telah dipindahkan ke PPS Kampung Mawai.
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Ibni Sultan Ibrahim telah berkenan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini.
Tunku Idris menyampaikan sumbangan tajaan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) kepada wakil-wakil keluarga di PPS Kampung Mawai dan beramah mesra bersama para mangsa banjir.
Keprihatinan Tunku Temenggong Johor memberi kesan yang positif kepada para penduduk yang terjejas akibat bencana ini.
Mangsa banjir, Siti Fatimah Ahmad, 74, yang berada di PPS ini sejak Ahad lalu berikutan rumahnya di Kampung Mawai Lama telah dinaiki air berasa gembira dengan kunjungan Tunku Idris ke PPS ini.
“Terima kasih kepada Tunku Idris yang sudi datang menjenguk kami di sini, rasa terubat sedikit kesusahan yang kami alami dengan bantuan yang diberikan,” ujarnya.
Pelbagai pihak telah menunjukkan tanggungjawab sosial masing-masing dalam membantu mangsa-mangsa banjir ini dengan menyalurkan bantuan terutamanya dari segi barangan keperluan harian, selain tenaga kerja bagi membantu proses pemindahan mangsa dari rumah ke pusat pemindahan serta bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Tinggi, Sarulnizam Khirudin, anggota bantuan APM daripada Negeri Selangor dan Perak turut dipanggil bagi membantu dalam urusan pemindahan mangsa-mangsa banjir ini berikutan kawasan yang terlibat dinaiki air secara mendadak dan menyukarkan mangsa untuk berpindah sendiri.
“Dengan kehadiran anggota bantuan ini dapatlah mengsa dipindahkan secara berperingkat, yang mana bantuan-bantuan lain juga dapat diberikan dengan menggunakan aset APM seperti lori dan bot yang sedia ada,” katanya lagi.
Setakat petang ini, hanya seramai 295 mangsa dari 89 buah keluarga masih berada di tiga buah PPS, iaitu PPS Kampung Mawai, PPS Kampung Semangar dan PPS Kampung Sungai Telor.
Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan atau melaporkan keadaan banjir di kawasan tempat tinggal mereka boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) di talian 07-8832158.
-NI-