Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

250 Peserta Sertai Gotong-Royong Pengurangan Risiko Bencana

By 5 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Kubendiran Manickam (Langkawi)

LANGKAWI, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 250 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pelajar dari Malaysia Future Leaders School (MFLS) turut serta dalam Program Gotong-Royong Pengurangan Risiko Bencana Sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Daerah Langkawi di Pengkalan Nelayan Sungai Chenang, di sini hari ini.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi Kapt. (PA) Ahmad Shahfikri Darus, selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, program ini melibatkan lokasi utama yang berisiko banjir di Langkawi iaitu Mukim Kedawang dan lokasi yang dipilih ialah Jeti Nelayan Sungai Chenang dan Jeti Nelayan Kuala Temonyong.

“Tujuan program ini dijalankan adalah bagi memastikan kurangnya risiko terhadap banjir itu sendiri dengan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan sudah pastinya kita perlu memastikan semua tempat berada dalam keadaan yang baik.

“Sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak dan penduduk sekitar itu sendiri membuatkan pihak kami tergerak untuk menjalankan program seperti ini secara berkala dan akan mengenal pasti lokasi seterusnya yang berisiko tinggi dalam menghadapi bencana,” katanya ketika ditemui.

Penghulu Mukim Kedawang Mohd Fatin Ibrahim, amat berbesar hati dan menyambut baik program sebegini diadakan berikutan kawasan ini sering dilanda bencana.

“Banyak bantuan diterima khususnya daripada pihak Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) di mana pihak majlis menebang pokok-pokok besar yang menganggu laluan ke kampung dan mencantas rumput-rumput di sekitar kawasan terlibat.

“Saya berterima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan agensi-agensi yang terlibat sama ada kerajaan mahupun swasta dan amat mengalu-alukan program sebegini diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda