Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Festival Kraf Johor 2019 (FKJ 2019) merupakan acara tahunan yang memartabatkan hasil kraf akan diadakan selama 12 hari bermula 20 Disember hingga 31 Disember 2019 di Padang A, Angsana Johor Bahru.
Festival ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sejak tahun 2011 lagi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat terhadap hasil kraftangan yang diperagakan.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail ketika sidang media yang diadakan di Kompleks Kraf Johor pagi ini, memberitahu kepada lebih kurang 30 pengamal media yang hadir bahawa tema FKJ 2019 adalah ‘Kraf Cenderamata Untuk Semua’.
“Memandangkan tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Malaysia dan juga Negeri Johor, marilah kita bersama-sama mengangkat hasil kraf yang unik dan mempunyai nostalgia tersendiri untuk dijadikan cenderahati,” ujarnya lagi.
Antara kraftangan yang akan dipamerkan semasa festival ini berlangsung seperti hasil rimba, tanah, logam, aneka kraf dan tekstil.
“Saya berharap masyarakat hari ini dapat menghargai hasil kraftangan tempatan dan memperluaskan lagi pasarannya ke peringkat antarabangsa.
“Saya juga ingin melihat lebih banyak usahawan kraf menghasilkan dan memasarkan produk mereka bersempena FKJ 2019 yang akan berlangsung tidak lama lagi kerana ia merupakan platform terbaik untuk membangun dan menjana sumber ekonomi,” katanya lagi.
Pelukis kreatif, Alia Sara Sapari, 16, menggunakan bakatnya untuk menghasilkan kraftangan penanda buku berbentuk karakter Wayang Kulit yang mendapat permintaan yang tinggi.
“Hasil jualan bagi kraf yang diusahakan oleh keluarga saya mampu menampung keperluan kehidupan kami seharian.
“Bermula pada tahun lepas, saya hanya suka-suka membantu ayah dalam menghasilkan pelbagai hasil kraftangan dan akhirnya timbul minat yang tinggi bagi dalam menghasilkan penanda buku yang cantik,” ujarnya.
Bagi usahawan ‘decoupage’, Hamizan Mohd Amin, 50, seni dekorasi yang dihasilkannya mampu memberi kepuasan dan permintaan terhadap seni ini semakin meluas di mana perkataan ‘decoupage’ berasal dari bahasa Perancis yang bermaksud memotong dan boleh dihuraikan sebagai seni dekorasi menampal potongan-potongan kertas pada permukaan benda dengan menggunakan kaedah tertentu.
“Seni ‘decoupage’ ini bermula pada abad ke-17 di Eropah yang mana pada ketika itu ia dianggap seni yang sangat ekslusif dan hari ini telah semakin mendapat perhatian masyarakat di Malaysia,” ujar beliau yang telah menghasilkan pelbagai seni ‘decoupage’ sabun, beg, alas meja dan sebagainya.
Pendekatan mempromosikan hasil kraftangan sebagai cenderamata merupakan usaha yang tepat dalam menjana ekonomi individu sekaligus penghasilannya berkait rapat dengan budaya dan warisan Negara pasti mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
-NI-