Laporan/foto: Fauziah Abdullah (Seremban)
SEREMBAN, 3 Dis (Malaysiaaktif) – ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’ merupakan pepatah Melayu yang jelas menggambarkan kepentingan semangat bekerjasama dan hidup bersatu padu dalam kalangan masyarakat.
Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin menyeru agar setiap individu dalam masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam memelihara perpaduan dan mengekalkan kesejahteraan.
“Kesepakatan yang ada kini hendaklah kita peliharanya dengan menjaga pergerakan dan tutur kata dalam setiap perlakuan seharian kita,” katanya sempena Progam Kumpulan Muafakat Olek Sekampung Komuniti Harapan Malaysia (KHM), di sini baru-baru ini.
Pengerusi KHM, Abd Ghani Zainuddin, berkata melalui Kumpulan Muafakat Olek Sekampung ini usaha mengekalkan adat tradisi melalui amalan bergotong-royong memasak menjelang kenduri-kendara agar dapat diwarisi oleh generasi muda.
“Jika kita lihat di majlis ini hari ini, yang mengangkat dan membasuh pinggan adalah anak-anak remaja dimana mereka telah silatih untuk sama-sama melibatkan diri dengan aktiviti bersama penduduk kampung.
“Ianya juga penting untuk memastikan generasi pelapis ini menghargai adat dan budaya melalui program-program yang dianjurkan oleh komuniti agar mereka sama-sama memahami dan turut mendapat manfaat,” katanya.
Pada majlis tersebut, penduduk kampung bergotong-royong memasak pelbagai jenis masakan yang menjadi menu tradisi di Kampung Siliau Baru antaranya sayur umbut kelapa sawit, perut lembu masak serai dan daging rendang hitam.
Turut hadir ialah Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah serta pemimpin komuniti setempat.
-AK