Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Anjung Singgah Rumah Gelandangan

By 15 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

KUCHING, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Anjung Singgah yang terletak di Jalan Rubber Kuching merupakan sebuah Pusat Khidmat Sosial bagi membantu golongan gelandangan yang ditadbir oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebuah pemegang amanah yang bertindak sebagai pembantu kepada kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menurut Pegawai YKN Cawangan Negeri Sarawak, Ediawati Apen, Anjung Singgah sedia ada mendapat kerjasama baik daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan serta pertubuhan sosial dan kebajikan dalam menangani masalah gelandangan.

“Kerjasama antara Anjung Singgah dengan pelbagai agensi memberikan impak positif dalam memastikan program pemulihan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bukan itu sahaja malahan penglibatan mereka juga serba sedikit dapat menyelesaikan pemasalahan yang dihadapi oleh penghuni Anjung Singgah.

“Bukan hanya gelandangan sahaja yang dibantu malahan mereka yang mempunyai masalah tempat tinggal akibat perceraian ibu bapa atau suami isteri, warga emas yang tidak mempunyai waris dan tempat tinggal mahupun masalah kesukaran bagi pencari kerja yang tidak mempunyai penempatan khusus turut dibantu oleh pihak pengurusan Anjung Singgah ini.

“Proses kemasukkan ke Anjung Singgah bukanlah seperti daftar masuk di hotel tetapi perlu melalui beberapa prosedur yang telah ditetapkan seperti pendaftaran, mengisikan borang yang telah disediakan dan sesi temuduga bagi mengesahkan kelayakan mereka untuk tinggal di Anjung Singgah ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini.

Menurut Edawati, terdapat dua buah asrama disediakan iaitu asrama untuk penghuni lelaki dan penghuni wanita, di mana mereka akan dibenarkan tinggal selama 14 hari dari tarikh kemasukkan dan dalam jangka masa tersebut mereka perlu menyelesaikan permasalahan mereka sebaiknya sebelum tamat masa yang telah diperuntukkan.

“Sekiranya permasalahan mereka tidak dapat diselesaikan setelah proses intervensi yang dilaksanakan maka pihak pengurusan Anjung Singgah akan merujuk kes tersebut kepada agensi lain yang berkaitan agar dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

“Saya menyeru kepada orang ramai yang memerlukan perkhidmatan yang disediakan oleh Anjung Singgah ini agar tidak malu dan segan untuk menghubungi pihak kami dan apa yang pasti pihak kami tidak mengenakan sebarang bayaran atas perkhidmatan yang diberikan ini,” tambahnya.

Anjung Singgah menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara, makan minum dan bertindak sebagai Pusat Intervensi bagi mempersiapsediakan mereka menempuh cabaran hidup agar tidak terpinggir dari arus pembangunan negara.

-SH

Tinggalkan komen anda