
Laporan/ foto: M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka melalui Tabung Amanah Kebajikan Negeri memperuntukkan sejumlah RM150,000 untuk diagihkan kepada 750 orang penerima sumbangan pada perayaan tahun baharu ini.
Menurut Exco Wanita, Kebajikan Dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ginie Lim Siew Lin, bagi masyarakat Cina, perayaan Tahun Baru Cina ini begitu bermakna dan bernilai. Perayaan tahun baru Cina menjadi permulaan dalam kalendar Lunar Cina dan sebagai simbolik permulaan yang baharu dalam kehidupan masyarakat Cina. Tahun ini adalah merupakan tahun tikus yang diramalkan akan menjadi tahun yang menguntungkan.
“Di samping mengejar matlamat dan cita-cita peribadi, marilah kita bersatu dan bekerjasama untuk memberikan sinar kehidupan yang lebih cemerlang kepada mereka yang kurang bernasib baik agar tidak ada kumpulan masyarakat yang dipinggirkan.
“Kita haruslah memahami bahawa kita adalah sebahagian daripada masyarakat yang sama. Justeru, apa jua yang dialami dan dirasai oleh sebahagian daripada masyarakat tersebut akan turut dirasai oleh kumpulan masyarakat yang lain.
“Kerajaan Negeri Melaka sangat peka terhadap kepentingan dan keperluan rakyatnya yang mana tuntutan golongan yang memerlukan juga semakin kompleks. Namun begitu, ini semua adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan penuh kekuatan dan semangat juang yang tinggi.
“Bagi memastikan cabaran ini mampu ditangani secara profesional, kerajaan akan terus memberikan komitmen kepada hala tuju negara,” ujarnya ketika berucap sempena Majlis Sumbangan Tahun Baru Cina Tahun 2020 bertempat di KIP MALL, Bachang Melaka, semalam.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata ketika merasmikan majlis tersebut, Kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan selain sumbangan pada setiap kali perayaan utama di negara ini.
“Antara inisiatif yang diperkenalkan adalah seperti bantuan Lampin Pakai Buang untuk Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya yang terlantar. Pada tahun 2019, sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan yang mana ia telah memberi manfaat kepada ramai penerima yang memerlukan.
“Pada tahun 2020, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.7 juta untuk Bantuan Susu sebagai makanan kepada pesakit terlantar, pesakit Orang Kelainan Upaya dan Warga Emas yang bakal memberi manfaat kepada 361 orang penerima.
“Banyak lagi bantuan kebajikan yang sedang dan akan dilaksanakan pada tahun ini terutama bagi memastikan kebajikan dan kepedulian rakyat mendapat perhatian sewajarnya. Kerajaan negeri akan memastikan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,”ujar Adly.
Turut Hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Dr. Wong Fort Pin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka, Burhanuddin Bachik.
-KN