Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Bersama Jayakan Program Inisiatif TMM 2020

By 15 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) menyeru kepada semua pihak seperti jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, pemilik hotel mahupun restoran, ejen pelancongan serta pengendali pengangkutan awam untuk menyokong pelbagai inisiatif bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman, beliau turut menyeru kepada semua pemain industri dan rakan media untuk menyokong program inisiatif TMM 2020 dengan memuat naik kalendar aktiviti sepanjang tahun Labuan di media sosial, berkongsi maklumat aktiviti pelancongan dan memberi sokongan kepada aktiviti dijalankan oleh penganjur.

“PL akan mengedarkan buku Labuan Events and Festivals 2020 dan risalah Labuan Flydrive kepada semua jabatan dan agensi kerajaan untuk diedarkan kepada para pelancong yang datang ke Labuan, risalah ini juga boleh dimuat turun di laman web PL dan Pelancongan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PL menyenaraikan lebih 100 acara pelancongan di Labuan yang melibatkan acara sukan, kesenian dan kebudayaan, pesta makanan serta keindahan Labuan yang menarik untuk dinikmati para pelancong.

“PL memberi fokus kepada pelaksanaan aktiviti pelancongan termasuk edu-pelancongan, eko-pelancongan, pelancongan kesejahteraan dan pelancongan sukan bagi memastikan usaha menjayakan TMM 2020 seiring serta serancak negeri lain di Malaysia.

“PL juga sedang berbincang mendapatkan kebenaran penerbangan terus terutama bagi tiga negara iaitu dari Thailand, Indonesia dan Singapura dalam usaha meningkatkan bilangan ketibaan pelancong luar negara.

“PL turut menjemput pihak-pihak yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan selam skuba dasar laut, aktiviti-aktiviti di pantai dan sukan air serta pengendali perkhidmatan pelancongan untuk memulakan operasi perniagaan di Labuan,” jelasnya lagi.

Tambah Fary, Jabatan Pelancongan,Kebudayaan dan Kesenian (JPKK) PL turut menawarkan sesi taklimat pelancongan dan maklumat-maklumat lanjut mengenai aktiviti pelancongan kepada semua pihak yang memerlukannya.

-SH

Tinggalkan komen anda