Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Bank Makanan YaPEIM Tepati Tiga Teras Negara Rahmah

By 23 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)

PORT DICKSON, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyasarkan peruntukan berjumlah RM4 juta bagi melaksanakan Program Foodbank di seluruh negara.

Pengurus Pentadbiran YaPEIM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Azharry Jiman, berkata pelaksanaan program ini adalah sebagai salah satu pendekatan untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Program Foodbank YaPEIM ini merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu YaPEIM dalam menyalurkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada penerima yang dikenal pasti dan layak.

“Ianya menepati tiga teras Negara Rahmah iaitu Rahmatan Lila’lamin dengan mengambil kira semua aspek iaitu rahmah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat,” katanya ketika merasmikan Program Ready to Eat (RTE) Foodbank YaPEIM di Politeknik Port Dickson, di sini semalam.

Menurut Azharry lagi, pelaksanaan program ini turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi lain yang bermatlamat membolehkan lebih ramai penerima meraih manfaat hasil daripada aktiviti amal jariah dan kebajikan yang dilakukan.

WhatsApp Image 2020-01-22 at 17.24.00

Azharry ketika berucap merasmikan majlis.

“Setiap usaha yang dilaksanakan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu melestarikan kehidupan warga B40 dan rakyat pada peringkat akar umbi,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Aidi Haikal, 25, salah seorang penerima bantuan berkata program ini membantunya dalam mengurangkan bebanan untuk meneruskan pembelajaran di politeknik.

“Saya rasa sangat bersyukur dan sangat berterima kasih kepada pihak YaPEIM dan Politeknik Port Dickson kerana membantu meringankan beban saya,” katanya.

Sebanyak 50 buah IPT dengan 80,000 orang pelajar akan menerima manfaat daripada program ini dan tiga daripadanya adalah IPT di Negeri Sembilan iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban (UiTM) dan Politeknik Port Dickson.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya.

-AK

Tinggalkan komen anda