Skip to main content
Berita TengahPutrajaya

Dasar Agrikomoditi Negara Dirangka Pacu Sektor Berorientasikan Pasaran

By 17 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 sedang dirangka bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Sehubungan itu, Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan satu sesi pemukiman pada bulan depan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan daripada kalangan pihak industri selain pekebun kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf.

“Ini akan digunakan sebagai platform untuk memperhalusi strategi, sasaran dan pelan tindakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta meneliti pencapaian kementerian sepanjang 10 tahun pelaksanaan DKN,” katanya pada majlis perhimpunan dan amanat tahun baru 2020 kementerian itu di sini, baru-baru ini.

Menurut Kok, bagi memastikan sektor agrikomoditi terus memperkasa ekonomi negara serta memanfaatkan semua pihak berkepentingan, DAKN juga perlu dirangka selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 (WKB 2030).

Dalam pada itu, beliau menyifatkan 2020 sebagai tahun mencabar untuk kementerian bagi memastikan semua projek dan program dalam DKN dan RMK-11 yang kini memasuki tahun ahir pelaksanaannya, dapat mencapai sasaran ditetapkan.

Susulan itu, katanya, peruntukan sebanyak RM670.12 juta menerusi Belanjawan 2020 kepada kementerian termasuk perbelanjaan pembangunan sebanyak RM410.6 juta bagi pelaksanaan 77 projek pembangunan perlu dibelanjakan serta diuruskan sebaik mungkin bagi menjamin keberkesanan program yang dirancang.

“Pihak kementerian dan agensi tentunya telah mempunyai perancangan rapi dan teratur untuk memastikan semua projek dirancang itu dapat dilaksanakan mengikut jadual serta peruntukan diluluskan kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda