Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL Jalin Kerjasama dengan Pemain Industri Pelancongan Sabah

By 17 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

KOTA KINABALU, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan di Sabah kerana Labuan amat memerlukan sokongan dan rangkaian hubungan yang lebih luas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman, Sabah telah mencapai tahap pemasaran pelancongan yang meluas khususnya dalam peringkat antarabangsa ditambah lagi dengan adanya penerbangan terus dari luar negara yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan bandar-bandar di Jepun, Korea dan China.

“Kita berharap ada ejen pelancongan di Sabah yang dapat memasukkan pakej dari Kota Kinabalu ke Labuan, Sekurang-kurangnya Labuan turut mendapat limpahan pelancong yang datang melalui Kota Kinabalu,” katanya semasa berucap pada Pelancaran Promosi Pelancongan Labuan di Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah, di sini semalam.

Pemilihan lokasi iklan promosi pelancongan Labuan itu merupakan usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung atau pelancong untuk datang ke Labuan yang merupakan destinasi yang tidak asing kepada penduduk Sabah.

“Ini juga sejajar dengan tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) yang mana promosi ini bukan sahaja untuk pelancong domestik tetapi juga pelancong antarabangsa yang datang ke Kota Kinabalu kerana terdapatnya penerbangan antarabangsa yang membawa ramai pelancong ke sana,” katanya lagi.

Dr. Fary turut menyatakan komitmen untuk menjalinkan hubungan dengan pihak-pihak daripada pelbagai bidang di negeri Sabah.

“Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah yang turut hadir ke majlis pada hari ini dan berharap perjumpaan pada hari ini akan membantu PL untuk mempunyai rangkaian hubungan dengan rakan-rakan di Sabah dari pelbagai bidang.

“Selain untuk meningkatkan industri pelancongan di Labuan, PL juga menumpukan usaha untuk menggalakkan pelaburan dan peluang-peluang perniagaan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi Labuan dan ini merupakan satu platform untuk Labuan menjalin kerjasama dengan pihak-pihak yang hadir pada hari ini dan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda