
Laporan/foto: Tengku Nor Liza Tengku Yahya/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Amalan meraih keuntungan sendiri melalui budaya ‘sewa atas sewa’ semakin berleluasa di bandaraya Kuala Lumpur ini.
Justeru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan mana-mana tapak bazaria dan pasar malam yang membebankan penjaja dengan kadar sewaan tapak yang tinggi.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, berkata amalan membuka tapak bazar ini tidak mendatangkan keuntungan kepada pihak DBKL malahan ia adalah untuk keuntungan individu tertentu sahaja.
Maka pada sidang media semalam, Khalid Samad memberi amaran keras kepada semua peniaga yang berlesen tetapi melakukan kegiatan ‘sewa atas sewa’ supaya menghentikan amalan buruk dan mementingkan diri sendiri tersebut.
Perkara yang sama juga dapat dikenalpasti dipraktikkan oleh sebahagian peniaga Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota yang membantah terhadap pemindahan lokasi tapak baharu.
“Bukan sahaja di Uptown Danau Kota malah kebanyakan tapak perniagaan di Kuala Lumpur telah lama mengamalkan budaya buruk ini sehingga ada yang meraih keuntungan sehingga RM500,000 sebulan untuk RM1,000 satu tapak,” jelas Khalid lagi.
“Ini merupakan sumber pendapatan mereka maka kita mahu beritahu kepada penyewa-penyewa tapak atau yang memberi sewa tapak kepada orang lain, kita beri tempoh agar mereka mencari pekerjaan yang lain yang lebih produktif,” kata beliau ketika ditemui pada sidang media mengenai Bazaria Wangsa Maju di Menara DBKL 1.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, DBKL tidak akan berhenti di sini dan akan berterusan serta dilakukan secara beransur-ansur supaya dapat memberikan ruang kepada peniaga kecil dan penjaja berkembang maju.
Terdahulu Khalid menyatakan 54 daripada 157 yang membuat laporan polis terhadap DBKL kerana enggan pindah ke tapak baharu Bazaria Wangsa Maju menyewakan tapak mereka kepada penjaja lain, 26 mengupah pekerja lain untuk menguruskan mereka tapak, 12 sudah memiliki tapak di bazaria dan lima lagi menyewakan tapak kepada penjaja warga asing.
Lebih buruk selepas membuat semakan dengan DBKL, Khalid mendedahkan 60 daripada kumpulan tersebut bukan peniaga Uptown Danau Kota sebenarnya.
Bazaria Wangsa Maju merupakan lokasi pemindahan sementara untuk penjaja Uptown Danau Kota yang telah ditutup.
Sehingga kini sejumlah 440 daripada 500 tapak telah dikenalpasti penjaja melalui proses bancian sebanyak tiga kali ditapak Uptown Danau Kota dan terdapat penglibatan syarikat swasta juga dalam proses bancian ini.
“Seramai 401 penjaja telah menjelaskan pembayaran sewa dan lesen manakala 385 daripadanya telah memulakan perniagaan mereka di tapak baharu.
“Baki 60 tapak lagi sedang diteliti pihak DBKL dan akan diselesaikan dan akan selesaikan sebelum hari Sabtu ini,” jelasnya Khalid mengenai Bazaria Wangsa Maju.
Tapak Bazaria Wangsa Maju yang terletak di Lot 24307, Jalan 1/2E Taman Setapak Indah menempatkan penjaja-penjaja yang menjual barangan kering, makanan dan minuman yang beroperasi selama enam hari seminggu bermula dari pukul 7.00 malam hingga 3.00 pagi pada hari berikutnya kecuali hari Isnin.
Bazaria ini diuruskan sepenuhnya oleh DBKL dan segala pembayaran yang berkaitan adalah terus kepada pihak DBKL.
Pembinaan tapak yang kekal akan siap dalam masa tiga tahun.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew.
-AO