Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
KUCHING, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Kehangatan Sambutan Tahun Baharu Cina mula terasa di sekitar Bandaraya Kuching dengan menyaksikan hampir sebilangan besar premis persendirian, kedai-kedai serta bangunan yang terletak di kawasan Main Bazaar, Jalan Gambir, Jalan Datuk Ajibah Abol dan Jalan Masjid mula dihiasi dengan pelbagai aksesori perhiasan.
Tidak terkecuali sebuah kedai milik seorang peniaga berdarah kacukan Melayu India yang turut menghiasi kedai miliknya di Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching dengan pelbagai hiasan berwarna warni bagi menggambarkan keterujaan beliau sama-sama menyambut tibanya perayaan tersebut tidak lama lagi.
Menurut pemilik kedai runcit, Faizan Abdul Wahid, beliau telah menghabiskan sebanyak RM500.00 untuk membeli kelengkapan perhiasan seperti tanglung, lampu berwarna-warni, bunga-bungaan dan sebagainya untuk dijadikan perhiasan bagi menarik perhatian pengunjung untuk datang ke kedainya.
“Inilah adalah satu keunikkan bagi kita masyarakat berbilang kaum di Sarawak di mana apabila tibanya musim sesuatu perayaan maka setiap kaum memainkan peranan penting untuk memupuk perpaduan sesama kita,” katanya.
Tujuan utama Faizan menghias kedainya dengan pelbagai hiasan atau dekorasi Tahun Baharu Cina adalah untuk menghargai pelanggannya yang terdiri daripada kaum tersebut.
“Salah satu cara menghargai pelanggan yang terdiri daripada kaum Tionghoa ini adalah dengan mengadakan perhiasan seperti ini dan secara langsung dapat mewujudkan keharmonian serta perpaduan kaum antara kami dan pelanggan,” katanya lagi.
Faizan dibantu oleh anak buahnya, Mohd Jaya mengambil masa selama sehari untuk menghias kedai mereka dengan hiasan yang begitu unik ini dan berharap agar hiasan yang dilakukannya ini dapat menjadi contoh kepada masyarakat bagi terus memupuk semangat perpaduan serta kerhamonian kaum yang ada di negara ini.
-SH