Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Fasa Kedua Monsun Timur Laut, Rakyat Dinasihati Berhemah Menggunakan Air

By 8 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)

AYER KEROH, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia kini berada dalam fasa kedua Monsun Timur Laut sehingga penghujung Mac 2020. Dalam tempoh ini, Semenanjung Malaysia akan kurang menerima hujan dan menyebabkan cuaca kering terutama negeri-negeri di utara.

Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat, hadkan aktiviti luar, banyak minum air dan elak pembakaran terbuka.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bertarikh 2 Jan 2020, Malaysia kini sedang berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada hujung bulan Mac 2020.

Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan keadaan cuaca yang agak kering terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung (Kedah, Perlis, dan Utara Perak) serta utara  Kelantan, dan utara Terengganu di pantai timur.

Bagi negeri-negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, walaupun dijangka akan menerima jumlah hujan yang biasa, memandangkan bulan Februari biasanya merupakan bulan yang sememangnya kurang hujan, semua pihak dinasihati supaya mengambil langkah berjimat dalam penggunaan air. Ini kerana berdasarkan maklumat yang diterima, jumlah paras air di empangan-empangan tertentu agak kurang berbanding biasa.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, menyedari  kadar taburan hujan yang merosot dengan ketara, Bahagian Kawal Selia Air (BAKSA) bersama-sama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) perlu bekerjasama  dan berganding bahu memikirkan kaedah untuk memastikan bekalan air yang mampan serta kaedah menangani masalah gangguan bekalan air.

“Perbincangan awal langkah kesiapsiagaan untuk mendepani isu ini perlu dipergiat bagi memastikan semua pihak bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Amanat Ketua Menteri di Grand Ballroom, MITC, Ayer Keroh, baru-baru ini.

Empangan Jus, sumber air utama rakyat negeri Melaka.

Empangan Jus, sumber air utama rakyat negeri Melaka.

-KN

Tinggalkan komen anda