PUTRAJAYA, 8 Jan (Malayiaaktif) – Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 akan disambut pada 25 dan 26 Januari. Berdasarkan statistik tahunan, permintaan untuk perkhidmatan bas ekspres akan meningkat lebih daripada kebiasaan dalam tempoh beberapa hari sebelum dan selepas perayaan tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Al Bakri, APAD sekali lagi akan membuka permohonan kepada pengendali-pengendali bas yang layak untuk memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) bas-bas tambahan bagi menampung permintaan pengguna perkhidmatan bas ekspres pada musim perayaan ini.
Tarikh permohonan dibuka dari 2 hingga 17 Januari di pejabat APAD di wilayah Selatan, Tengah, Utara dan Timur. Tempoh sah laku LPS bagi semua permohonan yang diluluskan dari 23 Januari hingga 3 Februari 2020.
Menurut Azlan Shah, Jemaah Menteri telah meluluskan kadar tambang bagi perkhidmatan bas ekspres dan bas ekspres tambahan sebanyak RM0.009 setiap kilometer ke atas tambang sedia ada menjadikan kadar tambang khas sebanyak 10.2 sen (RM0.102) bagi setiap kilometer sepanjang tempoh sah laku LPS tersebut.
-AO