Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

‘Gema Redza’ Pewaris Seni Warisan Melayu

By 21 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairudin AM (Negeri Sembilan)/Nor Izuani Mohd Noor (SMK Dato Hj Mohd Redza)

SEREMBAN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Kompang merupakan alat muzik tradisi masyarakat Melayu dan sering dimainkan di dalam pelbagai majlis keraian seperti majlis perkahwinan ataupun majlis rasmi sebagai tanda menyambut tetamu kehormat.

Ianya juga merupakan seni warisan turun-temurun masyarakat Melayu dan harus diwarisi ke generasi muda masa kini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Redza Sikamat, di sini mengambil inisiatif untuk menubuhkan kumpulan kompang mereka sendiri.

Kumpulan kompang yang digelar ‘Gema Redza’ ini dianggotai oleh 16 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan dua hingga lima sekolah tersebut.

WhatsApp Image 2020-01-20 at 14.27.46

Gema Redza ketika bersedia sebelum memulakan persembahan.

Gema Redza yang ditubuhkan pada awal tahun 2019 itu dibimbing oleh dua orang guru penyelaras, iaitu Zalizan Mahasan dan Nor Izuani Mohd Noor serta seorang guru penasihat, Rodiah Abdul Halim.

Menurut Zalizan, kumpulan tersebut sering mendapat jemputan membuat persembahan terutamanya dalam majlis-majlis keraian dan perkahwinan sekitar Seremban.

“Bakat dan kemahiran pelajar-pelajar ini memalu kompang dengan membawakan pelbagai rentak lagu lama dan terkini mampu memukau tetamu yang hadir,” katanya.

Sementara itu, ahli Gema Redza, Yasiin Nilhakim Khairudin, 14, berkata beliau menyertai kumpulan kompang ini kerana minatnya terhadap alat muzik warisan itu semenjak kecil.

“Seni memalu kompang ini merupakan seni warisan Melayu yang perlu diwarisi dan dipelajari oleh anak muda masakini agar tidak ditelan zaman,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau turut berharap agar kompang ini menjadi satu seni muzik tradisional rakyat yang boleh diketengahkan melalui pelbagai pertandingan serta diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

-AK

Tinggalkan komen anda