Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Hebahan Maklumat Pelbagai Bahasa Mampu Tingkatkan Kesedaran Tentang Wabak Koronavirus

By 30 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Sharifah Alia Syed Nasir (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat terdiri dari pelbagai bangsa menjadikan proses penyampaian maklumat itu dilakukan dengan menggunakan pelbagai bahasa bagi memastikan ia meliputi setiap lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, berkata maklumat yang disampaikan dalam pelbagai bahasa akan memudahkan masyarakat untuk memahami dan mengingatinya terutama golongan warga emas.

Edaran risalah berkaitan langkah-langkah pencegahan wabak novel koronavirus kepada orang ramai.

Edaran risalah berkaitan langkah-langkah pencegahan wabak novel koronavirus kepada orang ramai.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya wajib menggunakan Bahasa Kebangsaan namun dalam situasi yang memerlukan sesuatu maklumat disampaikan dengan cepat dan tepat seperti kes wabak novel koronavirus ini, mesej yang disampaikan dalam pelbagai bahasa akan lebih cepat dan mudah diterima oleh orang ramai,” katanya selepas menyampaikan risalah berkenaan langkah-langkah pencegahan wabak novel coronavirus (2019-nCoV) sempena program Info On Wheels Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru, di sini, semalam.

Tambah beliau lagi, Jabatan Penerangan telah melakukan inisiatif yang betul dengan menyampaikan maklumat yang tepat dan diperlukan masyarakat berkaitan wabak novel koronavirus menerusi program Info On Wheels.

Petugas-petugas dari Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau yang menjayakan program Info On Wheels di kawasan Parlimen Tebrau.

Petugas-petugas dari Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau yang menjayakan program Info On Wheels di kawasan Parlimen Tebrau.

“Selama ini saya ingat adalah memadai hanya dengan memakai topeng muka tetapi sebenarnya kita perlu mengamalkan pelbagai langkah pencegahan seperti sentiasa mencuci tangan dengan sabun bagi mengurangkan risiko dijangkiti wabak ini,” katanya.

Ditanya tentang kesan penyebaran berita palsu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah untuk menerima maklumat yang tidak sahih kebenarannya.

“Nasihat saya jika orang ramai ada menerima sebarang berita yang mengejutkan, janganlah disebarkan terlebih dahulu namun hendaklah melakukan semakan menerusi pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya melibatkan kes wabak koronavirus ini,” katanya.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda