
Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Jaed Tepus (Sarawak)
KUCHING, 17 Jan (Malaysiaaktif) – “Justice and Beyond” dipilih sebagai tema Pembukaan Tahun Perundangan 2020 bagi Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak sejajar dengan tema Pembukaan Tahun Perundangan 2020 di Putrajaya “Moving Forward”.
Urusetia Perarakan Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2020, Afidah Abdul Rahman menjelaskan tema tahun ini dipilih bertepatan dengan misi Badan Kehakiman Malaysia untuk menjadi Badan Kehakiman yang moden dan berteknologi tinggi.
“Bermula tahun 2020 Badan Kehakiman Malaysia akan mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam urusan harian dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu sejajar dengan hasrat kerajaan kearah mengecapi Revolusi Perindustrian 4.0 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya yang ditemui sempena Perarakan Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2020, di sini hari ini.

Tan Sri Tengku Maimun (empat dari kiri) mengetuai perarakan sempena Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2020.
Selain itu, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak juga melancarkan beberapa inisiatif inovatif baharu untuk memperkasakan sistem penyampaian pentadbiran kehakiman iaitu Platform media sosial Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
“Inisiatif tersebut bertujuan mendekatkan masyarakat dengan institusi kehakiman melalui penyampaian maklumat seperti jenis-jenis khidmat yang disediakan oleh mahkamah, maklumat kes, alasan penghakiman, info grafik bahasa perundangan serta aktiviti-aktiviti mahkamah dan Pusat Maklumat dan Khidmat Mahkamah (COSPIC).
“COSPIC turut mengendalikan aduan dan bertindak sebagai Pusat Teknologi Kecerdasan Buatan Mahkamah bagi Data Jatuh Hukum yang mana teknologi ini membantu hakim dan majistret membuat analisa hukuman yang sesuai dijatuhkan kepada tertuduh,” katanya lagi.
Terdahulu, lebih 1000 orang berarak dari Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) menuju ke Kompleks Mahkamah Kuching sempena Pembukaan Tahun Perundangan Sabah Dan Sarawak 2020.
Perarakan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Datuk Seri Azahar Mohamed serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah.
Majlis tradisi yang diadakan setiap tahun ini merupakan peristiwa penting dalam kalendar tahunan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak kerana ia menandakan pembukaan tahun perundangan bagi tahun baharu dan dikendalikan secara bergilir oleh Mahkamah Tinggi Sarawak dan Mahkamah Tinggi Sabah.
-SH