Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kempen CRS Diperhebat dalam Op Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina

By 10 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Kempen penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) akan diperhebatkan dalam Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Mohd Nasri Ishak berkata menerusi operasi itu, jabatannya dengan kerjasama badan penguatkuasaan dan agensi berkaitan akan memperluaskan pendidikan serta panduan mengenai CRS, selain kepentingan keselamatan jalan raya.

“Usaha itu termasuk pelbagai bentuk kempen seperti edaran risalah, pemasangan papan iklan keselamatan dan berjumpa pengguna jalan raya yang singgah di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R).

“Penggunaan CRS juga menjadi satu elemen keselamatan yang akan dipantau dalam op bersepadu ini,” katanya kepada Bernama selepas menjadi panel jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi.

Turut menjadi panel, pensyarah yang juga Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani.

Dalam program itu, Kulanthayan turut menyarankan ibu bapa supaya menggunakan CRS dengan piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129.

Jelasnya, hanya CRS dengan piawaian yang ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNR) itu yang dibenarkan di negara ini mulai 2020.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan CRS dalam kenderaan persendirian, yang diwajibkan bermula 1 Jan lepas, bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak, daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baharu itu susulan statistik membimbangkan, iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Bagaimanapun, tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan, yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda