
Laporan/foto : Shah Hood/Najib Mohaini (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Ekonomi dan pembangunan yang semakin berkembang pesat di Johor menjadikan negeri ini sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar negara di mana kerancakan pembangunan hartanah di pesisir pantai terutama di kawasan Iskandar Malaysia dan pelbagai projek mega seperti Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Ditambah pula dengan bentuk geografi muka bumi Negeri Johor yang sangat luas dikelilingi sempadan maritim sepanjang kira-kira 445 kilometer yang merangkumi seluas 23,428 kilometer persegi mengundang banyak ancaman keselamatan seperti jenayah rentas sempadan seperti aktiviti penyeludupan, kes rompakan dan tawanan kapal, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), dadah dan sebagainya.

Dr Sahruddin Jamal ketika berucap di Majlis Aspirasi Pengurusan Keselamatan 2020
Program Konferen Keselamatan Negeri Johor Tahun 2020.
Tanpa pemantauan yang berkesan, dibimbangi elemen-elemen negatif akan menyusup masuk ke negeri ini, tanpa kita sedari dan kesiapsiagaan keselamatan daripada pelbagai ancaman harus dipertingkatkan demi Johor.
Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata “kita perlu sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan ancaman dan tidak mengambil mudah walaupun masih belum berlaku ancaman yang serius di negeri ini.”

Antara pegawai keselamatan pelbagai agensi yang menghadiri Majlis Aspirasi Pengurusan Keselamatan 2020 Program Konferen Keselamatan Negeri Johor Tahun 2020.
“Saya tidak mahu kita mengambil sikap tunggu dan lihat, saya mahu kita sentiasa bersedia dan mengambil langkah pencegahan di peringkat awal.
“Oleh itu, semua agensi pengurusan keselamatan Negeri Johor harus bersiap siaga ‘Ready For Action’ dalam apa jua kemungkinan krisis atau konflik yang akan berlaku tidak kira dalam apa jua spektrum keselamatan yang mengganggu gugat aspek kestabilan, keamanan dan kesejahteraan,” katanya lagi.
Dr Sahruddin turut menyarankan, selaku agensi pengurusan keselamatan perlu memberi keyakinan kepada rakyat menerusi pelbagai medium termasuklah media sosial dalam menghebahkan mengenai strategi-strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu menyebar luaskan maklumat yang sahih kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aspirasi Pengurusan Kawalan Keselamatan Tahun 2020 yang diadakan di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini semalam.
Turut Hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk A. Rahim Nin dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din.
-NI-