Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Rumah Mampu Milik Buat Golongan B40

By 30 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Che Nab Che Deris (Besut)

JABI, 30 Jan (Malaysiaaktif) – 100 unit rumah teres di Kampung Tempinis bakal disiapkan  dalam tempoh 90 minggu di kawasan seluas 9.51 ekar/ 3.85 hektar  yang dijangka siap  pada 21 September 2021 dengan harga per unit, RM80, 000.

Pembinaan Rumah Mampu Milik di Kampung Tempinis, Jabi merupakan contoh terbaik yang membuktikan komitmen kerajaan Negeri Terengganu terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) di negeri ini untuk tinggal di rumah yang selesa dan kelengkapan yang mencukupi.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri bersama jemputan ketika tiba di pentas utama perasmian

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri bersama jemputan ketika tiba di pentas utama perasmian

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya ketika merasmikan majlis Pecah Tanah Tapak Projek Rumah Mampu Milik (RMM), baru-baru ini berkata, “Projek Rumah Mampu Milik (RMM) mampu memberikan kemudahan kepada golongan yang sangat memerlukan bantuan perumahan kerana masih terdapat penduduk yang menyewa dan menumpang di rumah orang lain.”

“Kerajaan negeri mensasarkan supaya rakyat Terengganu kumpulan B40 yang berumur 21 tahun ke atas  dan sudah berkahwin serta belum memiliki rumah akan mendapat faedah dan manfaat sepenuhnya daripada projek Rumah Mampu Milik (RMM) ini.”

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyampaikan ucapan perasmian

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyampaikan ucapan perasmian

Tambah Ahmad Samsuri, “Projek ini merupakan projek perintis kepada reka bentuk Rumah Mampu Milik (RMM) yang mesra syariah. Idea untuk penjenamaan semula RMM dengan penambahbaikan ciri-ciri rumah mesra syariah telah diwujudkan untuk dijadikan identiti bagi membolehkan rakyat negeri Terengganu dan pemaju dapat membezakan rumah mampu milik negeri ini dengan rumah mampu milik negeri-negeri yang lain.”

Reka bentuk rumah mampu milik yang mesra syariah ini menekankan konsep patuh syariah mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan ruang tamu dengan keluasan 800 kaki persegi.  Selain mengutamakan ruang solat yang mesra ibadat, ruang untuk laluan jenazah juga dititikberatkan.

Sebahagian penduduk Kampung Tempinis yang hadir ke Majlis Perasmian Pecah Tanah Tapak Projek Rumah Mampu Milik (RMM)

Sebahagian penduduk Kampung Tempinis yang hadir ke Majlis Perasmian Pecah Tanah Tapak Projek Rumah Mampu Milik (RMM)

Selepas menyempurnakan gimik perasmian dengan menurunkan tandatangan pada plak dan meletakkan batu asas di tugu perasmian projek, Ahmad Samsuri turut menyampaikan sumbangan kepada 40 orang asnaf di dalam kawasan Jabi dan menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada tetamu yang bertuah.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa sebiji peti sejuk

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa sebiji peti sejuk

Hadir sama di majlis itu Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Azman Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Perumahan,  Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Alias Razak.

-ii-

Tinggalkan komen anda