
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Rawang menyantuni orang berinsuran sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Pengurusnya, Zamri Draman, berkata program seumpama itu diadakan setiap kali menjelang sebarang perayaan tertentu untuk bertanya khabar serta menyerahkan faedah Perkeso kepada pencarum atau waris.
“Program ini sering kita adakan sama ada diadakan dalam majlis tertentu ada mengunjungi kediaman pencarum.
“Hari ini kita menyantuni enam orang yang terdiri daripada lima pencarum dan seorang waris yang menerima faedah penakat dan faedah hilang upaya,” katanya.
Katanya, Perkeso menasihatkan agar pencarum atau waris tidak menggunakan khidmat agen untuk sebarang urusan dengan pihaknya.
“Khidmat kami adalah percuma, sila datang atau hubungi pihak Perkeso sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau urusan tuntutan faedah.
“Jangan percaya kepada mana-mana pihak yang mengaku sebagai agen Perkeso kerana kami tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai agen,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di majlis penyampaian faedah Perkeso kepada penerima yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, hari ini.
Sementara itu, Wei Kiat dalam ucapannya menyeru agar pencarum atau waris yang mempunyai masalah atau sebarang urusan untuk hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rawang.
“Kita akan bantu sebaik mungkin agar urusan berkaitan faedah Perkeso dapat dibantu tanpa melibatkan orang tengah atau agen.
“Manfaat atau faedah daripada caruman Perkeso banyak disediakan oleh kerajaan untuk pencarum atau waris,” katanya.
-NAZ