
Laporan /Foto : Rosli Muhammad (Pasir Puteh)
PASIR PUTEH, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Program Sarapan Percuma (PSP) 2020 merupakan satu program penyediaan makanan berkhasiat yang percuma yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu murid-murid sekolah rendah yang tidak berkemampuan untuk memperolehi sarapan yang berkhasiat dan seimbang bagi membantu tumbesaran mereka khususnya bagi murid-murid sekolah rendah di luar bandar.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Mashadi Mustapa berkata setiap pelajar yang menerima PSP akan sentiasa menikmati makanan berkhasiat dengan menu yang berbeza setiap hari. Beliau berkata sedemikian sewaktu membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan Panggong, Pasir Puteh sempena bermulanya program PSP hari ini.
Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Panggong, Tengku Adzhan Arif Tuan Yusof, bilangan murid yang terdapat di Sekolah Kebangsaan Panggong adalah seramai 502 orang dan seramai 353 orang pula adalah daripada golongan keluarga miskin dan miskin tegar yang layak mendapat sarapan pagi percuma di bawah program PSP ini dan sebanyak RM800 sehari telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan bagi menjayakan program ini.

Timbalan Pengarah JPN Kelantan beramah mesra dengan murid-murid yang sedang menikmati sarapan percuma
“Sekolah ini antara sekolah yang paling ramai murid mendapat makanan percuma bagi program PSP kerana mempunyai bilangan murid dari keluarga miskin dan miskin tegar yang paling ramai dalam Jajahan Pasir Puteh,”ujar beliau.
“Dengan adanya Program Sarapan Percuma ini, saya yakin akan dapat mengurangkan bebanan ibu bapa murid terbabit yang mana sebahagian besarnya bekerja sebagai petani dan penoreh getah dengan pendapatan bulanan mereka yang tidak menentu.,” tambah Tengku Adzhan lagi.
Dengan terlaksananya program PSP ini, pasti akan memberi kegembiraan kepada golongan pelajar yang miskin dan tidak berkemampuan untuk menikmati sarapan pagi yang berkualiti dan sihat. Pihak ibu bapa juga tidak akan risau lagi untuk memikirkan tentang anak-anak mereka yang tidak mampu menikmati sarapan pagi yang berkhasiat di sekolah sebelum ini.
Diharapkan dengan adanya program ini, murid-murid yang tidak berkemampuan akan dapat memberi perhatian sepenuhnya pembelajaran mereka di dalam kelas seterusnya akan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran.
-NAZ