
Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Isu keselamatan jalan raya di Malaysia semakin berada ditahap yang serius di mana hampir setiap hari kita disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menghiasi media cetak dan elektronik.
Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sering merangka pelbagai inisiatif sebagai alternatif untuk mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Johor Mohd Solihan Badri, pada perayaan Tahun Baharu Cina yang lepas statistik kadar kemalangan mencatatkan penurunan selepas pelancaran Ops Selamat 14 diadakan diseluruh negara.

Pengguna jalan raya turut disarankan untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Selama tempoh 15 hari Ops Selamat berlangsung sebanyak 20,829 kemalangan telah direkodkan di seluruh negara berbanding tempoh sama pada Ops Selamat 13 dengan jumlah 21,041 kes.
“Jumlah kemalangan itu menurun sebanyak 212 kes atau satu peratus di mana bagi kemalangan maut, sebanyak 197 kes direkodkan pada tahun 2019 dan ia menurun 11 kes atau 5.3 peratus berbanding tahun 2018 yang merekodkan 208 kes.
“Rekod kematian juga mencatat penurunan sebanyak 10 kematian atau 4.4 peratus”, ujarnya lagi semasa ditemui di sidang media Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru.

Mohd Solihan Badri (tengah) bersama tetamu jemputan di Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor.
Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor ini merupakan anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Johor, Lembaga Lebuhraya Malaysia Wilayah Selatan dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad.
“Antara faktor berlakunya kemalangan adalah kerana sikap tidak berhati-hati pengguna jalan raya yang gemar memandu melebihi had kelajuan sehingga menyumbang kepada kemalangan,” katanya lagi.
Kempen “Pandu Cermat, Sampai Selamat” ini dilancarkan untuk memupuk kesedaran tentang keselamatan jalan raya terutamanya dikalangan pemandu kereta dan motorsikal.
Menerusi kempen ini, sebanyak 30 topi keledar dewasa dan kanak-kanak, baju hujan telah diedarkan pada para penunggang dan pembonceng motorsikal yang melalui Tol Kempas, Johor Bahru serta turut diagihkan 30 buah hamper dan 200 buah goodie bags yang mengandungi risalah keselamatan jalan raya dan cenderahati kepada pengguna jalan raya di laluan tersebut.
“Saya berharap kempen keselamatan jalan raya ini mampu memberikan impak yang besar dalam usaha memupuk dan menyemai sikap pemanduan berhemah.
“Di samping itu ia juga dapat memberi mesej dan panduan yang selamat pada para pengguna jalan raya terutamanya bagi yang akan pulang ke kampung sempena perayaaan Tahun Baharu Cina kali ini”, ujarnya lagi.
Para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti memandu dengan kelajuan dibenarkan, mematuhi panduan keselamatan jalan raya, mematuhi arahan papan tanda serta tidak memotong di kawasan garisan berkembar dan kawasan yang tidak dibenarkan.
Bagi penunggang motorsikal, mereka turut dinasihati untuk menggunakan pengangkutan awam kerana ini akan mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan kerana 60 peratus daripada kematian akibat kemalangan jalan raya adalah melibatkan golongan pengguna motorsikal.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, pengguna jalan raya disarankan agar lebih fokus kepada pemanduan dan berhati-hati ketika memandu.
“Elakkan dari memandu melebihi had laju yang ditetapkan kerana ini akan memudahkan anda mengawal kenderaan sekiranya keadaan jalan licin dan sentiasa kekalkan jarak selamat di mana ia merupakan cara paling mudah dan berkesan dalam pemanduan berhemah,” katanya.
-NI-