Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pengemaskinian BSH 2020 Mulai Esok

By 31 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Genda Sating (Kuching)

KUCHING, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Tempoh permohonan dan pengemaskinian Bantuan Sara Hidup (BSH) tahun ini dibuka mulai esok (1 Februari) hingga 15 Mac nanti bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.

Menurut Setiausaha Persekutuan Sarawak Shahabuddin Omar, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion dan memperluaskan skim ini meliputi 1.1 juta individu bujang berpendapatan kurang RM2 ribu sebulan.

“Selain daripada kategori isi rumah, permohonan untuk BSH 2020 juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 hingga 59 tahun termasuk orang kelainan upaya (OKU) berumur 18 hingga 59 tahun.

“Mereka layak menerima sebanyak RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful mySalam secara percuma,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JK Induk Pembayaran Fasa Pertama & Pendaftaran Baharu/Kemaskini Maklumat Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 Bagi Kawasan Pedalaman Sarawak, di sini baru- baru ini.

Menurut Shahabudin, bagi pemohon yang permohonan terdahulu mereka telah lulus serta pemohon OKU yang tersenarai sebagai penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak perlu membuat permohonan baharu atau mengemaskini permohonan.

“Walau bagaimanapun, pemohon perlu membuat permohonan baharu dan mengemaskini permohonan bagi mereka yang belum membuat pendaftaran, permohonan BSH 2019 yang tidak lulus dan pemohon OKU yang tidak tersenarai sebagai penerima Bantuan JKM namun menepati syarat kelayakan BSH 2020,” katanya lagi.

Shahabudin turut menyeru mereka yang ingin memohon boleh hadir dan mendaftar di 33 lokasi sempena sesi pembayaran tunai fasa pertama BSH 2020 kawasan pedalaman Sarawak bagi penerima yang tiada akaun bank mengikut zon-zon yang ditetapkan.

“Pemohon bagi zon 1 meliputi Daerah Bintulu, Miri dan Limbang boleh hadir bermula 4 hingga 26 Februari di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan manakala bagi zon 2 (Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit) pemohon boleh berbuat demikian mulai 4 hingga 20 Februari ini.

“Manakala bagi pemohon dari zon 3 (Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong), mereka boleh berbuat demikian mulai esok sehingga 29 Februari nanti dan pemohon boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda