Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Fahami Celik Wang Melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

By 4 Februari 2020Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan dibawah seliaan Bank Negara Malaysia(BNM) pada tahun 2006. Peranan agensi ini adalah untuk memberi khidmat kaunseling kepada individu yang mengalami masalah hutang kewangan agar mereka dapat menguruskan kembali hutang mereka dengan disiplin dan sistematik.

Antara khidmat kaunseling yang disediakan oleh pihak AKPK ialah memberi penerangan berkaitan pengurusan kewangan dan kredit secara bijak dan segala perkhidmatan kaunseling yang disediakan adalah secara percuma.

Tujuan utama pendidikan kewangan diberikan kepada para peminjam kewangan adalah untuk mereka belajar cara mengawal sumber kewangan mereka dengan baik di samping mempromosi budaya pembayaran balik yang teratur melalui penggunaan kredit yang cermat.

Manakala kaunseling kewangan pula disediakan bagi membantu setiap peminjam kewangan agar mereka dapat menguruskan bajet kewangan mereka dengan baik agar mereka tidak mengalami masalah kewangan dalam menjalani kehidupan mereka di samping membantu mereka membayar balik pinjaman kewangan mereka dengan penuh disiplin dan sistematik.

AKPK juga berperanan membantu setiap peminjam untuk menjadualkan dan menstrukturkan semula pinjaman mereka seperti pinjaman rumah, pinjaman sewa beli, pinjaman peribadi dan tunggakan baki kad kredit serta caj lain yang perlu dibayar kepada penyedia perkhidmatan kewangan di bawah pengawalan Bank Negara Malaysia.

Menurut Ketua Cawangan AKPK Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor,41, berdasarkan data statistik yang telah dikeluarkan bermula tahun 2006 sehingga 30 November 2019, seramai 1,017,316 individu telah menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling bersama AKPK, dan daripada jumlah itu, seramai 303,278 peserta telah memohon untuk menyertai program pengurusan kredit ini.

“Dalam masa yang sama seramai 25,274 kes hutang telah berjaya menamatkan program pengurusan kredit dengan jumlah nilai tunggakan sebanyak RM 1,091 juta. Situasi ini melibatkan kekerapan peratusan lingkungan umur diantara 30 hingga 40 tahun, dengan jumlah peserta seramai 120,098 orang bersamaan 41.3 peratus keseluruhannya,” tambah beliau lagi,

“Mengikut data yang di analisa pula mereka ini majoritinya adalah dalam kalangan penjawat awam, kakitangan swasta, peniaga, kontraktor serta semuanya mempunyai jawatan tetap serta berkerjaya dalam pelbagai bidang dan bukannya dalam kalangan, petani, nelayan mahupun buruh.” Ujar beliau lagi.

Dari segi punca utama yang menyebabkan kegagalan seseorang individu itu membayar hutang adalah berpunca dari perancangan kewangan yang lemah, kegagalan perniagaan, kehilangan pekerjaan, kematian pencari nafkah, pencerian dan sebagainya.

Begitulah yang telah berlaku kepada seorang pelabur skim cepat kaya, Hamdan Razali berumur, 46, beliau tertarik dengan satu pelaburan skim cepat kaya yang menyebabkan beliau telah melakukan pinjaman peribadi di sebuah syarikat perbankan untuk melabur kerana menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan dalam masa singkat dan akhirnya syarikat tersebut ditutup dan pemiliknya  hilang melarikan diri.

Keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa menanggung beban hutang dengan syarikat perbankan tersebut sehingga mencecah puluhan ribu ringgit dan hampir diisytihar muflis oleh pihak bank.

Akhirnya agensi AKPK telah menjadi penyelamat kepada beliau untuk menjadualkan kembali hutang tersebut berdasarkan kemampuan komitmen bulanan beliau.

Berlainan pula dengan kisah Samsiah Azlan, 51, kerana terlalu mengejar kehendak, keinginan serta kemewahan dan menggunakan kad kredit tanpa had untuk membuat pembelian akhirnya beliau menanggung hutang kewangan yang serius.

“Setiap kali ada barangan mewah di pasaran yang menimbul minat saya , pasti saya tidak ketinggalan untuk membeli barang tersebut dengan menggunakan kad kredit tanpa kawalan yang bijak. Akhirnya saya gagal membuat pembayaran terhadap pembelanjaan kad kredit yang telah saya guna tanpa kawalan sehingga menerima notis daripada pihak bank untuk diwartakan muflis.”jelasnya.

“Akhirnya AKPK menjadi tempat rujukan bagi menstrukturkan balik pinjaman serta bebas dari sebarang tindakan mahkamah terhadap saya,” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda