Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

IOW : Hebahan 3 Versi Bahasa Demi Kefahaman Rakyat

By 4 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid ( Kuala Krai )

KUALA KRAI, 4 Feb ( Malaysiaaktif ) – Amalan komunikasi bersemuka yang diamalkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia semenjak sekian lama dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan ternyata masih relevan untuk  dunia hari ini.

Di samping menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan, melalui kaedah komunikasi bersemuka ini juga, pihak Jabatan Penerangan Malaysia akan dapat merasai denyut nadi masyarakat luar bandar secara lebih dekat.

Amalan Komunikasi bersemuka telah dijenamakan semula oleh pihak Jabatan Penerangan dengan diberi nama baru iaitu “ Program Info On Wheel” (IOW), Melalui program IOW ini pihak Jabatan Penerangan akan turun ke lapangan dengan membuat lawatan rumah ke rumah, mengadakan syarahan berencana, sembang warung dan sebagainya.

Melalui program IOW ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai Jabatan Penerangan dengan masyarakat setempat.

Aktiviti ini penting dalam usaha kerajaan untuk memasarkan maklumat berkenaan dasar-dasar kerajaan dan memberi kefahaman kepada masyarakat yang berbilang kaum.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Krai, Nik Aula, 48, Jabatan Penerangan memang sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti komunikasi bersemuka untuk kepentingan rakyat.

Hebahan melalui unit bergerak menggunakan 3 versi bahasa untuk kefahaman masyarakat pelbagai kaum

Hebahan melalui unit bergerak menggunakan 3 versi bahasa untuk kefahaman masyarakat pelbagai kaum

“Kami di Jabatan Penerangan akan turun ke lapangan melalui Program Info On Wheel setiap hari untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada orang ramai berkenaan dasar-dasar kerajaan, inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa seperti wabak Coronavirus yang sedang hangat ketika ini,”

“Kami juga turut mengedarkan buku-buku dan poster berkaitan dasar kerajaan yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia,“ katanya.

“Disebabkan negara kita mempunyai masyarakat pelbagai kaum, kami berusaha membuat hebahan melalui kenderaan bergerak dengan menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa melayu, cina dan tamil supaya maklumat dan penjelasan kami dapat difahami oleh masyarakat terutama berkaitan isu Coronavirus ini,“ ujarnya lagi.

Menurut salah seorang masyarakat India di Kuala Krai, Danial Paamraman, 64, langkah yang diambil oleh Jabatan Penerangan dengan turun ke setiap penempatan masyarakat memberi penerangan amat baik kerana rakyat dapat memahami dengan lebih jelas mengenai sesuatu perkara terutama perkara penting seperti Coronavirus.

“Gerak kerja Jabatan Penerangan turun kelapangan dengan bersemuka dengan masyarakat untuk memberi penjelasan tentang sesuatu isu seperti Coronavirus sangat penting agar masyarakat sentiasa berwaspada dan sentiasa mengamal kebersihan dalam kehidupan,” ujarnya ketika ditemuramah di Ladang Estet Econjaya.

Perpaduan dan keamanan yang kita kecapi sehingga hari ini patut disyukuri dan kerajaan akan sentiasa berusaha memberi penjelasan kepada masyarakat dengan pelbagai cara dan kaedah agar maklumat dan matlamat kerajaan untuk mensejahterakan negara dapat direalisasikan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda