
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Nor Sofian Abdul Manan (Segamat)
SEGAMAT, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Pasar malam menjadi lokasi tumpuan Pejabat Penerangan Daerah Segamat untuk menyampaikan hebahan serta penerangan kepada masyarakat di daerah ini tentang langkah berjaga-jaga ekoran penularan wabak Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang sedang melanda negara.
Program ‘Info On Wheels’ (IOW) yang merupakan platform bagi Jabatan Penerangan Malaysia untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan melalui hebahan Unit Bergerak serta aktiviti turun padang secara bersemuka dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Pegawai Penerangan Daerah Segamat, Nor Sofian Abdul Manan memberi penerangan mengenai wabak Novel Coronavirus kepada salah seorang peniaga Pasar Malam Buloh Kasap, Nasir Ahmad.
Komunikasi secara bersemuka secara tidak langsung dapat menyalurkan maklumat yang benar dan tepat kepada kumpulan sasaran serta mengingatkan masyarakat untuk tidak menyebarkan berita tidak benar terutama dari sumber-sumber tidak sahih di laman media sosial membabitkan wabak Coronovirus ketika ini.
Salah seorang peniaga pasar malam yang ditemui, Nasir Ahmad berkata sebelum ini beliau kurang tahu mengenai wabak ini, namun dengan kehadiran petugas Jabatan Penerangan secara tidak langsung dapat menerangkan serta memberi maklumat yang benar dan tepat berkaitan Coronavirus.

Unit Bergerak Jabatan Penerangan Malaysia mengegarkan pasar-pasar malam di daerah ini bagi menyampaikan hebahan maklumat dan dasar-dasar kerajaan.
Pegawai Penerangan Daerah Segamat, Nor Sofian Abdul Manan berkata ‘Info on Wheels’ : Gegar Pasar Malam ini diadakan bagi memastikan masyarakat umum terutama para peniaga pasar malam untuk mendapat maklumat yang tepat berkaitan wabak Novel Coronavirus.
“Buat masa sekarang, Pejabat Penerangan Daerah Segamat akan membuat hebahan dan edaran risalah berhubung wabak Coronavirus di lokasi tumpuan orang ramai bermula dengan pasar malam dan kemudian kita akan ‘gegar’ ke pasaraya-pasaraya di sekitar daerah ini.
“Program ini dilihat mendapat sambutan baik oleh para peniaga pasar malam dan masyarakat setempat, namun begitu terdapat segelintir orang awam yang bersifat pasif dan enggan menerima risalah yang dihulurkan oleh petugas Jabatan Penerangan,” ujar beliau lagi.
Beliau berasa gembira dengan penerimaan positif oleh peniaga-peniaga pasar malam dan orang awam di tiga lokasi iaitu Buloh Kasap, Taman Yayasan dan Bukit Siput.
Mengulas lanjut, Nor Sofian berkata pihaknya dalam usaha bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan Rakan Strategik Pejabat Penerangan Daerah bagi mempertingkatkan lagi penerangan kepada masyarakat mengenai wabak ini.
-NI-