Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

IYC Penggerak Program Belia Bertaraf Antarabangsa

By 21 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Asdazairi Daut/Harman Mohamad Khalid (Cheras)

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Pusat Belia Antarabangsa (IYC) kini mampu menggerakkan lebih banyak program dan aktiviti belia sehingga ke peringkat antarabangsa dengan terbinanya bangunan baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, beliau akan pastikan dengan adanya bangunan baharu ini lebih banyak program dan aktiviti antarabangsa khususnya dalam kalangan anak muda dapat dibawa ke sini.

“Saya berharap lebih ramai anak muda akan menggunakan sebaik mungkin kemudahan dan platform yang disediakan oleh IYC dari segi kemahiran mahupun kesukarelawan bukan hanya sekadar penganjuran persidangan.

“Pelbagai pembaharuan yang merangkumi kemudahan penginapan pelbagai jenis seperti 50 bilik untuk dua orang, dua unit apartmen, dua unit suite, sebuah bilik mesyuarat, empat bilik seminar, ruang makan, ruang rekreasi serta surau terdapat di sini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Bangunan Baharu IYC di Jalan Yaacob Latif, Cheras, baru-baru ini.

Syed Saddiq semasa menandatangi plak perasmian bangunan baharu IYC.

Syed Saddiq semasa menandatangi plak perasmian bangunan baharu IYC.

Tambah beliau, “Ia memberi nilai tambah kepada kemudahan sedia ada IYC bagi menampung keperluan penganjuran program, seminar atau persidangan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.”

Kini, bangunan IYC telah berwajah baharu, perancangan yang telah bermula sejak 4 Disember 2015 melalui Projek Rancangan Malaysia ke-10 dalam Rolling Plan ke-4 merupakan projek pembangunan di bawah agensi Kementerian Belia dan Sukan.

Kemudahan bertaraf hotel bandar ini turut memberi ruang kepada IYC untuk membuka peluang kepada semua peringkat golongan sasaran untuk menggunakannya di samping meningkatkan pasaran IYC sebagai institusi pembangunan belia yang mempunyai kemudahan setanding pusat belia di luar negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan IYC.

-NI-

Tinggalkan komen anda