Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATANG KALI, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Seorang anggota Polis terkejut apabila hanya mengetahui isterinya ada membuat carumam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas pemergiannya pada 28 Januari lalu.
Koperal Mohd Aliff Mohd Amin, 33, berkata perkara berkenaan dimaklumkan wakil PERKESO yang menghubunginya dua minggu selepas isterinya, Rozita Khayri, 33, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Gerik, Perak pada 27 Januari.
“PERKESO menghubungi saya pada 28 Januari namun ketika itu saya perlu menguruskan anak yang cedera di Hospital Ipoh terlebih dahulu.
“Saya langsung tidak mengetahui isteri merupakan pencarum PERKESO sehingga dihubungi sekali lagi pada 14 Februari oleh seorang pegawai memaklumkan perkara tersebut,” katanya.
Beliau yang bertugas di Balai Polis Batang Kali seterusnya menyerahkan semua dokumen yang diperlukan kepada pihak PERKESO tiga hari kemudian.
“Hari ini pihak PERKESO datang menyerahkan manfaat iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di samping mendapat bayaran Pencen Penakat secara bulanan.
“Saya sarankan agar orang ramai membuat caruman PERKESO yang disediakan kerajaan kerana manfaat sekiranya berlaku kemalangan atau kematian kepada pencarum,” ujarnya.
Majlis penyerahan manfaat disempurnakan wakil Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Supritendan Siti Baizura Jalal di Balai Polis Batang Kali, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Balai Batang Kali, Sarjan Mejar Zaimi Mohd Latiff dan Pengurus Pejabat PERKESO Rawang, Zamri Draman.
-NAZ