
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
SARIKEI, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Info on Wheel (IoW) merupakan strategi penyampaian maklumat baharu Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia dan dilaksanakan menggunakan konsep komunikasi bersemuka dengan orang ramai.
Ketua Unit Bergerak Jabatan Penerangan Daerah Sarikei, Priscilla Kathy Paul memberitahu bahawa perlaksanaan program IoW di Daerah Sarikei mendapat maklum balas positif serta mencetuskan suasana lucu daripada kalangan orang ramai yang ditemui.
“Pada awalnya, orang ramai yang ditemui takut untuk berhadapan dengan kami serta mereka beranggapan bahawa kami adalah penjual pelbagai produk dan situasi ini secara langsung membangkitkan suasana lucu ketika program ini dilaksanakan,” katanya yang ditemui sempena program tersebut, di sini baru-baru ini.
Priscilla berkata kepakaran cara berinteraksi secara bersemuka yang dimiliki oleh pegawai serta kakitangan JaPen sememangnya menjadi perhatian orang ramai.
“Berkemungkinan cara komunikasi serta interaksi kami dengan orang ramai menjadikan kami dianggap sebagai penjual pelbagai produk dan situasi ini bertukar lucu apabila orang ramai mengetahui perkara sebenar bahawa kami adalah pegawai serta kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sarikei.
“Setiap peristiwa lucu yang dialami sepanjang melaksanakan IoW akan terpahat sebagai memori indah serta memberikan semangat tambahan untuk terus menyampaikan maklumat yang sahih, telus dan diyakini terus kepada masyarakat,” tambahnya.
-SH