
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Request For Proposal (RFP) Projek Jambatan Labuan-Menumbok di sini, sedang disediakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, berkata kerajaan berharap RFP akan diumumkan pada tahun ini dan terma rujukan (TOR) juga sudah disiapkan serta dipersetujui.
“Projek ini akan dijadikan satu program penswastaan, bayaran balik kepada pembina jambatan perlu kita rundingkan dan tetapkan agar ianya tidak memerlukan peruntukan daripada kerajaan.
“Perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah juga sudah dijalankan bagi mengenal pasti perincian projek itu seperti lokasi jambatan, laluan yang sesuai dan tempat pendaratan,” katanya yang ditemui sempena Program Ziarah Kasih, di sini semalam.
Terdahulu, seramai enam orang warga emas di sekitar Labuan yang menghadapi masalah kesihatan menerima bantuan menerusi program tersebut.
Menurut Khalid, bantuan-bantuan seperti itu akan ditingkatkan dari masa ke masa.
“Kita akan mempertingkatkan lagi bantuan-bantuan kepada warga Labuan supaya kita dapat membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan terutamanya mereka yang sudah berumur.
“Ini merupakan sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang perlu dimainkan semua pihak termasuk Perbadanan Labuan serta pihak swasta,” katanya lagi.
-SH