Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Kempen Tulisan Jawi Tarik Minat Warga JaPen

By 27 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Wirwan Nor Rama (Sarawak)

KUCHING, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Para pegawai dan kakitangan yang bertugas di Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak berpeluang mengunjungi Pameran serta Kempen Tulisan Jawi yang dikelolakan oleh Unit Perpustakaan Foto, Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (BKVS) bertempat di Perpustakaan Foto, Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bermula hari ini sehingga esok.

Menurut Penolong Pustakawan, Khadijah Ahmad, pameran dan kempen tulisan jawi ini merupakan inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia dan diadakan melalui Pusat Sumber serta perpustakaan seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai mengenali, mempelajari dan menimba ilmu mengenai tulisan jawi.

“Menyingkap sejarah zaman dahulu, tulisan jawi telah menjadi alat perhubungan penting bagi masyarakat terdahulu dalam wilayah nusantara dan berdasarkan kepada kepentingan ini, Unit Perpustakaan Foto JaPen Sarawak mengambil tindakan atas arahan yang telah dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk mengadakan pameran dan kempen tulisan jawi tertakluk kepada garis panduan yang telah disediakan,” katanya ketika menyelaraskan pameran dan kempen, di sini hari ini.

Khadijah (kanan)  mengiringi kakitangan JaPen Sarawak ketika melihat pameran dan kempen tulisan jawi, di sini.

Khadijah (kanan) mengiringi kakitangan JaPen Sarawak ketika melihat pameran dan kempen tulisan jawi, di sini.

Khadijah berkata pengelolaan pameran dan kempen tulisan jawi ini memberi tumpuan kepada menyemarakkan serta melestarikan tulisan jawi sekaligus memartabatkan tulisan jawi agar tidak pupus di telan zaman.

“Pameran dan kempen tulisan jawi di sini lebih terarah kepada penggunaan tulisan jawi di negeri ini di mana penggunaan tulisan jawi telah banyak digunakan semasa pemerintahan era keluarga Brooke.

“Penggunaan tulisan nampak dan jelas digunakan khususnya dalam manuskrip, syiling, wang kertas hingga ke penulisan ke atas beberapa buah buku rujukan pada era berkenaan,” ujarnya lagi.

Selain itu, pameran dan kempen tulisan jawi ini turut menyediakan pelbagai bahan rujukan seperti buku-buku bacaan, gambar-gambar yang berkaitan, risalah, dan artikel yang boleh dijadikan sumber maklumat.

-SH

Tinggalkan komen anda