
Laporan/foto: Sharifah Ithnin (Alor Gajah)
MELAKA, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka sentiasa komited dalam usaha membantu para belia menjana ekonomi terutama dalam bidang pertanian dan ternakan.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, warga belia perlu mengambil peluang perniagaan yang ada bagi membangunkan ekonomi diri, keluarga serta komuniti kampung amnya.
“Jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dipohon agar dapat membantu usahawan muda daripada pelbagai sudut bantuan seperti kewangan, penyelidikan dan pemasaran bagi menambah potensi yang sedia ada.
“Penglibatan Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian dalam membantu masyarakat setempat bagi menjana pendapatan melalui ternakan dan kaedah tanaman cili secara fertigasi juga dilihat sangat baik selain boleh dikembangkan lagi secara lebih meluas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
“Kerajaan Negeri juga pada masa ini telah melabur melalui Amanah Finance House Berhad dalam menyediakan pinjaman dana harta Bumiputera yang boleh dipohon oleh individu atau syarikat melalui pinjaman mikro kredit, peribadi atau pinjaman perumahan sehingga RM100,000,” katanya dalam pertemuan bersama para belia di DUN Kuala Linggi sempena lawatan kerja sehari baru-baru ini.
Turut hadir Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Melaka, Ginie Lim Siew Lin, Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi, Amran Osman dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom.
-KN