Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Kesedaran Tanggungjawab Mengundi

By 21 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporam/Foto : Ramasamy Amas (Jempol) / Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

JEMPOL, 21 Feb (Malaysiaaktif) – “Kerajaan telahpun meluluskan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sebagai syarat umur minimum pengundi untuk pilihanraya akan datang,” kata Pegawai Penerangan Daerah Jempol, Siti Noorezrin Mahmod ketika merasmikan Program Demokrasi Kita di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting petang semalam.

Program tersebut merupakan aktiviti di bawah Kelab Malaysiaku yang bertujuan untuk memberi pendedahan,pemahaman serta pengalaman kepada ahli kelab berkaitan sistem amalan demokrasi dan tatacara pemilihan pemimpin dalam organisasi yang mengamalkan sistem demokrasi.

Menurut Noorezrin, program itu juga sebagai satu usaha untuk memberi kesedaran kepada para pelajar terhadap tanggungjawab sebagai seorang pengundi.

“Adalah amat penting kepada semua pelajar untuk memahami sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dimana setiap lima tahun sekali akan diadakan Pilihanraya Umum untuk memilih kerajaan yang mentadbir negara dan ianya bukan sekadar pengetahuan untuk lulus peperiksaan sahaja,” tambahnya lagi.

WhatsApp Image 2020-02-21 at 09.58.35 (1)

Pelajar diberi tunjuk ajar penyediaan peti undi.

Sementara itu, pegawai Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Sembilan, Shahril Bahari, berkata pihak SPR sememangnya dalam usaha untuk memberikan pendidikan berkaitan pilihanraya dan kerjasama ini adalah amat tepat dan memudahkan kepada pihak SPR dalam menyampaikan maklumat.

“Bagi setiap program yang diadakan, selain daripada memberikan ceramah berkaitan amalan demokrasi, pihak SPR juga turut mengadakan simulasi pilihanraya supaya pelajar sekolah dapat memahami secara dekat proses pilihanraya yang dilaksanakan dan membetulkan persepsi negatif masyarakat berkenaan berlakunya penipuan dalam pilihanraya,” jelas beliau.

Wakil pelajar SMK Bandar Baru Serting, Naziyana Kamaruzaman, 17, ketika ditemui berkata beliau mendapat pengalaman yang berguna sebagai ahli Kelab Malaysiaku kerana pernah dibawa mengikuti lawatan ke Parlimen Malaysia dan dapat melihat secara dekat pendebatan antara Ahli Parlimen.

“Hari ini saya dapat ilmu yang sangat berguna tentang proses pilihanraya dan peranan SPR  serta mengucapkan terima kasih  kepada Pejabat Penerangan Daerah Jempol yang mengelolakan program pada petang ini,”ujarnya ketika ditemui dalam program tersebut.

Program tersebut juga telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada pihak SPR Negeri Sembilan dan Pejabat Penerangan Daerah Jempol.

-AK

Tinggalkan komen anda