
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Impian 32 penduduk Kampung Indian Settlement dan Kampung Bengali untuk memiliki hak milik tanah sejak lebih 40 tahun lalu akhirnya tercapai apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Negeri, hari ini.
Seorang penerima, Marathemuttu Vellu, 54, melahirkan perasaan gembira apabila mendapat hak setelah sekian 35 tahun memohon kepada kerajaan negeri.
“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih atas keperihatinan Menteri Besar yang meluluskan permohonan tanah ini yang memberi makna yang besar kepada kami sebagai rakyat.
“Walaupun terpaksa menunggu lama, akhirnya kerajaan Selangor tetap memberi hak pemilikan tanah kepada kami,” katanya.
Amandeep Singh, 27, pula berkata beliau mewakili ahli keluarga bersyukur kerana isu pemilikan tanah di Kampung Benggali akhirnya dapat diselesaikan.

Amirudin (dua dari kiri) menyerahkan Notis 5A kepada salah seorang penerima di Batu Caves, hari ini.
“Isu ini berlarutan sebelum saya lahir lagi namun diselesaikan apabila kerajaan memberi tanah gantian di Batu Arang.
“Selepas melalui banyak proses dan isu-isu diselesaikan, premium tanah juga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kejayaan itu selari dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat negeri tersebut memiliki aset sendiri dan berharap ia tidak dijual demi keuntungan.
“Kampung Indian Settlement dan Kampung Benggali, Rawang adalah kawasan setinggan yang tiada kemudahan asas yang sempurna, kita pindahkan ke penempatan baharu yang lebih selesa.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta bagi penempatan baharu tersebut merangkumi kos ambil alih tanah serta pembinaan jalan raya dan parit,” katanya semasa Majlis Penyampaian Notis 5A di Balai Penghulu Mukim Batu, Jalan Sungai Tua, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Yang diPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Ali Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.
-NAZ