Skip to main content
Berita TengahPutrajaya

Koronavirus: Filipina Mungkin Tangguh Sukan Paralimpik ASEAN

By 7 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto : Ihsan BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Filipina mungkin menangguhkan penganjuran Sukan Paralimpik ASEAN ke-10 (APG) buat kali kedua susulan penularan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) untuk menjadualkan semula APG ke tarikh seterusnya, selepas menangguhkan temasya dua tahun sekali itu dari Januari kepada 20 hingga 28 Mac, susulan kekangan kewangan dan logistik.

“Acara yang diuruskan PSC seperti Sidang Kemuncak Sukan Nasional 2020, Sukan Nasional Filipina, Sukan Kanak-Kanak, Batang Pinoy (Sukan Remaja Filipina) dan aktiviti lain telah ditangguhkan bagi tempoh yang tidak pasti sebagai satu langkah keselamatan susulan penularan jangkitan 2019-nCoV.

“Agensi sukan turut memberikan saranan rasmi untuk menangguhkan APG 2020 susulan krisis kesihatan itu.

“Ini secara rasmi telah diumumkan semasa sidang akhbar hari ini di Koliseum Peringatan Rizal, Manila,” menurut nasihat yang disiarkan di halaman Facebook PSC semalam.

CNNF melaporkan bahawa keputusan akhir, bagaimanapun, akan diambil oleh PPC kerana Presidennya, Mike Barredo, dijangka bertemu dengan Persekutuan Sukan Paralimpik ASEAN (APSF) di Bangkok, Thailand pada Jumaat bagi membincangkan tindakan yang bakal diambil, iaitu kemungkinan menangguhkan APG sehingga Mei atau Jun.

Kerajaan Filipina telah mengharamkan semua pelancong dari China, Hong Kong dan Macau memasuki negara itu susulan penularan virus tersebut.

Angka korban meningkat melebihi 560 manakala lebih 28,000 orang, kebanyakannya di China, telah dijangkiti virus berbahaya itu.

Di Malaysia 14 orang termasuk 10 rakyat China didapati positif virus itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda