
Laporan/foto: Ruslan Abdul Jalil (PMM)
MERLIMAU, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) selaku penyedia latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) baru-baru ini telah mengadakan sesi perkongsian mengenai penggunaan Autodesk Inventor bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota, Umbai Melaka.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Mohamad Shahril Ibrahim, berkata program tersebut khusus buat para pelajar tingkatan empat dan lima yang bertujuan berkongsi kemahiran yang dimiliki oleh para pensyarahnya dalam bidang TVET bersama pihak luar.
“Program ini memberi bimbingan kepada para pelajar serta dapat memupuk minat pelajar sekolah terhadap kemahiran TVET melalui aktiviti yang dilaksanakan.
“Ini juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan program yang ditawarkan oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berlangsung di PMM, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM, Mohamad Nazri Ismail, pula berkata program tersebut dibentuk untuk membantu pelajar bagi mendapat pengetahuan yang lebih meluas dalam bidang kejuruteraan.
“Ia dapat membina dan mewujudkan jaringan perkongsian ilmu kepada kumpulan sasaran terutama pelajar sekolah mengenai bidang TVET seiring keperluan industri.
“Dengan adanya inisiatif seperti ini, dapatlah menarik minat pelajar sekolah untuk memilih bidang yang diminati pada pengajian yang lebih tinggi nanti,” katanya.
-SH