
Laporan/foto: Mahdini Jaini/JaPen (Sarawak)
KUCHING, 1 Feb (Malaysiaaktif) – ‘Info on Wheels’ (IoW) merupakan inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dalam memanfaatkan kaedah komunikasi bersemuka bagi menyebarluaskan maklumat serta dasar kerajaaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak Aziz Abdul Rahman, aktiviti IoW giat dilaksanakan oleh pegawai lapangan di seluruh negeri sejak 28 Januari lalu dengan memberi tumpuan kepada penyebaran maklumat berkaitan penularan wabak Novel Koronavirus (2019-nCov) di negara ini.
“Menyedari keseriusan penularan wabak tersebut, usaha berterusan diambil oleh para pegawai lapangan jabatan untuk menyampaikan maklumat khusus berkaitan virus ini menerusi kaedah temu bual bersama masyarakat setempat sambil mengadakan hebahan unit bergerak, edaran risalah, sesi penerangan dan panduan serta langkah pencegahan wabak ini.
“Aktiviti IoW ini melibatkan lokasi tumpuan orang ramai seperti gerai, pasar tamu dan kedai kopi, bermula dari zon selatan sehingga ke zon utara negeri ini,” katanya sempena program tersebut, di sini semalam.
Menurut Aziz, antara maklumbalas yang diperolehi sepanjang program ini, orang awam yang ditemui menghargai usaha yang dilakukan oleh jabatan ini dalam menyebarluaskan pengetahuan berkaitan wabak ini.
“Terutamanya bagi masyarakat di luar bandar kerana pendekatan secara bersemuka sebegini memudahkan mereka untuk memahami maklumat secara lebih jelas,” tambahnya.
Seorang peniaga yang berasal dari Kampung Sejingkat, Rohana Sahat, 39, menyatakan beliau menyokong usaha JaPen turun padang berkongsi maklumat berkaitan langkah pencegahan wabak koronavirus ini.
“Saya kini ambil maklum bahawa amalan penjagaan kesihatan diri seperti menggunakan topeng muka yang bersesuaian dan menggunakan oembersih tangan di kawasan awam adalah penting bagi mengelak risiko terdedah kepada jangkitan,” ujarnya.
Aktiviti IoW ini akan dilaksanakan secara konsisten di keseluruhan 33 buah daerah di negeri ini dan ribuan risalah berkaitan wabak koronavirus akan diedarkan dengan harapan dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran umum terhadap risiko wabak tersebut.
-SH