
Laporan /foto: Mastika Hablum (Jasin)
JASIN, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Malaysia yang berperanan untuk menyampaikan maklumat terkini secara terus ke telinga rakyat Malaysia kini dipergiatkan setiap hari. Pendekatan sebegini adalah masih releven bagi golongan warga emas yang kurang mahir mengendalikan media sosial dan memerlukan penyampaian terus secara bersemuka.
Dalam satu majlis sambutan Tahun Baru Cina di Asahan Jumaat lalu, golongan warga emas disantuni dengan penjelasan mengenai cara untuk Kurangkan Risiko Dijangkiti Wabak CornaVirus dalam versi bahasa Melayu dan Mandarin serta diajar cara memakai penutup mulut dan hidung dengan teknik yang betul selain diedarkan secara percuma.
Menurut Penghulu Tertinggi Daerah Jasin, Jezlee Pit dalam ucapannya berkata “risalah mengenai Wabak Novel CoronaVirus yang diedarkan kepada semua perlu dimanfaatkan, jangan dibuang sebaliknya dibawa balik kerumah masing-masing untuk anak cucu baca. Hari ini Pusat Maklumat Rakyat Jasin bersama-sama kita memberikan penerangan secara asasnya agar dapat mengamalkan langkah-langkah keselamatan agar wabak ini dapat dielakkan.”
Beliau yang bersama-sama Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan, Mohd Akhir Ayob turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada warga emas yang memerlukan bagi meringankan beban dan boleh menampung keperluan harian mereka.
Majlis yang dihadiri kira-kira 250 jemputan memberikan impak yang positif di samping hasrat pengurusan Japerun ini ingin memberikan kegembiraan warga emas berbangsa Tiong Hua dan meraikan mereka dengan menyediakan jamuan makan sambil diiringi Persembahan Tarian Singa dari Persatuan Tong Seng, Jasin dan Tarian Kebudayaan Cina dari pelajar-pelajar SJKC Pondok Kempas.
-KN