Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Video Tular Rusuhan di Batu Caves Tidak Benar – Polis

By 15 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan berlaku rusuhan di kuil Batu Caves seperti tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Taware, berkata setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai wujudnya kejadian rusuhan seperti yang dinyatakan.

“Ia hanya pertengkaran antara pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan beberapa orang lelaki yang tidak berpuas hati dengan kehadiran mereka di kuil tersebut ketika penganut masih beribadat dan membeli belah di saat akhir.

“Namun, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan sekiranya ada keterangan pihak-pihak berkenaan didalangi oleh kumpulan tertentu, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai wujudnya kejadian rusuhan seperti tular di media sosial - ACP Arifai Taware.

Pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai wujudnya kejadian rusuhan seperti tular di media sosial – ACP Arifai Taware.

Katanya, keadaan di sekitar kuil Batu Caves dalam suasana aman dan terkawal sehingga kini dan kehadiran pengunjung semakin bertambah pada hujung minggu.

“Polis akan meneruskan pemantauan di kawasan tersebut bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan apa-apa berita yang tidak benar demi keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat sentiasa terjamin,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Arifai memaklumkan pihak polis telah membuat 76 tangkapan dalam tempoh perayaan Thaipusam dari 5 hingga 11 Februari.

“Tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pemerasan, ugutan jenayah, parking haram dan lain-lain kesalahan bagi membendung kegiatan menyalahi undang-undang.

“Pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan lain-lain turut membantu perayaan ini disambut dalam suasana aman.

“Kerjasama tersebut berjaya memastikan perayaan Thaipusam 2020 berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda