Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Wanita Pemangkin Kemajuan Negara

By 22 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin (Melaka)

MELAKA, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Pelancaran Gabungan NGO Wanita Melaka telah berlangsung semalam di Dewan Seri Bendahara yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Menurut Adly, kerjasama antara NGO wanita dan kerajaan negeri akan menjadi penghubung dalam membela isu-isu berkaitan wanita, keluarga dan kanak-kanak. Ia juga dapat membantu kerajaan negeri menyantuni dan mengangkat kaum wanita ke martabat yang sewajarnya sebagai penggerak pemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara.

Pelancaran Gabungan NGO Wanita Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Pelancaran Gabungan NGO Wanita Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Menurutnya lagi, statistic menunjukkan sejumlah 459,000 orang rakyat Melaka adalah wanita, sedikit kurang berbanding kaum lelaki seramai 463,200 orang. Ia membawa maksud penglibatan wanita dalam masyarakat perlu dibesarkan supaya potensi mereka dapat diguna pakai dalam segenap segi.

“Bagi NGO yang baru sahaja ditubuhkan, mereka perlulah belajar dengan pertubuhan yang telah lebih lama berdiri untuk bersama-sama berkongsi pengetahuan dan cara kerja yang betul. Wanita juga perlu meneroka medan media maya agar keseimbangan dalam corak pemikiran dan tata kerja dapat diimbangkan bersama kaum lelaki”, ujarnya.

Dalam pada itu dalam Belanjawan Negeri Melaka 2020, kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai insentif sebagai menghargai peranan wanita dan membela nasib masyarakat.

Antaranya ialah memperuntukkan sebanyak RM500,000 kepada penubuhan Jawatankuasa Penggerak Wanita Dan Program Prihatin Ibu Tunggal, RM100,000 kepada Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat Pakatan Harapan (HARWANIS) dan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri Melaka (PUSPANITA) dalam menganjurkan pelbagai program dan kempen kesedaran bagi menjaga kebajikan wanita.

Dengan seramai 40 peratus penjawat awam negeri terdiri daripada wanita, kerajaan negeri telah berjaya merealisasikan hasrat untuk meramaikan lagi kakitangan wanita dalam perkhidmatan awam negeri.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi HARWANIS, Dalilah Awaludin, Exco Wanita, Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

-KN

Tinggalkan komen anda