Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Info On Wheels (IOW) merupakan sebuah program hebahan maklumat secara bersemuka yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) bagi menyampaikan maklumat secara terus kepada rakyat mengenai inisiatif serta dasar kerajaan terutamanya dalam menyebarluas isu terkini berkenaan langkah pencegahan dan penularan wabak COVID-19.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith, penglibatan individu-individu penting pada hari ini seperti ADUN Perling Cheo Yee How dan ADUN Skudai Tan Hong Pin menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong dan membantu JaPen dan agensi-agensi kerajaan dalam menyampaikan dan menerangkan maklumat secara berhemah terus kepada rakyat melalui IOW.
“Tumpuan program ini adalah jangkauan di antara kerajaan kepada rakyat dalam memberikan input dan maklumat yang tepat berkenaan apa juga senario dan perkembangan terkini yang berlaku di dalam negara kita.
“IOW merupakan pendekatan terbaik kerajaan dalam membantu masyarakat memahami dengan lebih mendalam tentang isu terkini seperti wabak COVID-19, langkah kesiapsiagaan dan langkah pencegahannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Program Info On Wheels di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar, semalam.
Tambah beliau, penyampaian dan penerangan maklumat secara terus kepada rakyat mengenai inisiatif serta dasar kerajaan terutamanya dalam menyebarluas isu terkini berkenaan langkah pencegahan dan penularan wabak COVID-19 merupakan platform terbaik bagi mengekang penyebaran berita tidak benar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Menyalurkan maklumat yang sahih adalah penting supaya negara dan rakyat dapat menjalani aktviti seharian seperti biasa.
“Inilah peranan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memberi penerangan kepada masyarakat umum berkenaan inisiatif-inisiatif kerajaan dan isu-isu yang memerlukan penjelasan terperinci yang terus secara bersemuka,” ujarnya.
Memahami tugas barisan hadapan yang sentiasa berisiko, beliau telah menyumbangkan RM10,000 untuk pembelian alatan paparan digital dan peralatan keselamatan pekerja di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Abu Bakar.
Beliau turut mengedarkan risalah Jabatan Penerangan berkaitan langkah-langkah kesiapsiagaan menghadapi wabak COVID-19 dan penurunan kadar tol serta meluangkan masa lebih kurang dua jam di CIQ untuk bersama-sama barisan petugas hadapan Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Kesihatan meninjau pergerakan keluar masuk pelawat dan langkah-langkah kawalan untuk menangani wabak COVID-19 di Johor Bahru.
Turut diedarkan 200 keping penutup mulut dan hidung kepada orang ramai yang melalui pintu masuk negara ini menerusi lebuh raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Turut hadir, EXCO Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor Sr Haji Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Haji Hashim Bedu.
-NI-