
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)/PPDK Sik
SIK, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daerah Sik meraikan 99 pelatih orang kurang upaya (OKU) yang berjaya menamatkan sesi pembelajaran bagi tahun 2019.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik Yahya Mat Khatib, berkata majlis graduasi tersebut diadakan bagi menghargai serta memberi pengiktirafan kepada pelatih yang menunjukkan prestasi cemerlang dan usaha keras sepanjang tahun 2019.
“Selain sebagai suntikan semangat majlis ini juga bertujuan memberi dorongan dan galakan kepada ibu bapa serta waris agar lebih cakna terhadap perkembangan insan istimewa ini.
“Kami juga berharap agar selepas ini pelatih lebih berdaya saing serta semakin bersemangat untuk menonjolkan prestasi dan kemampuan diri.
“Usaha ini juga adalah bagi mengikis sifat malu dan menambah keyakinan diri pelatih untuk berdepan dan berinteraksi dengan masyarakat di luar sepertimana rakan sebaya yang lain,” katanya ketika ditemui sempena Hari Anugerah Cemerlang PPDK Daerah Sik, di sini baru-baru ini.
Yahya turut berharap agar dapat menangkis stigma masyarakat terhadap golongan istimewa ini dan tidak mendiskrimasi serta memberi layanan yang sama kepada mereka.
-SH